Wednesday, September 15, 2010

Langkah demi Langkah

Hari ini 15 September 2010. Pada tahun 2008, ketika ini, aku sedang sibuk mengisi permohonan ke UPSI untuk menyambung pengajian..dan hari ini selepas dua tahun, aku sedang berkira-kira untuk mengisi borang pertukaran untuk meninggalkan Tanjung Malim.

Selama dua tahun aku meneroka dunia baru di Tanjung Malim, pelbagai pengalaman menarik yang aku timba dan menjadi sebahagian pengalaman berharga dalam lipatan sejarah kehidupanku. Pelbagai rencam dan kerenah manusia yang aku temui, memberi aku ruang untuk ketawa, senyum dan juga menangis. Semuanya sangat berharga, tak dapat aku letakkan nilainya.

Pengalaman aku sebagai 'teacher' di Sekolah Agama membuatkan aku semakin menghargai nilai seorang guru, seorang insan yang mampu mengubah seorang manusia menjadi yang lebih baik dari semalam! Pengalaman aku sebagai seorang ibu kepada seorang anak gadis yang meningkat remaja, mengajar aku nilai keibuaan yang perlu bersedia dengan pelbagai perubahan tiba-tiba dalam diri seorang anak yang semakin membesar...

Aku sendiri semakin mengenal nilai hidup dan semakin bijak menilai kehidupan, banyak perkara yang aku hargai, nilai kasih sayang yang semakin aku sayangi, aku belajar menghargai dan mengkehendaki penghargaan dalam kehidupan aku sendiri. Dan yang paling pasti ialah aku semakin merasa bahagia dengan apa yang aku temui di dalam kehidupan ku.

Semoga percaturan ku seterusnya akan membawa aku ke arah sebuah kehidupan yang lebih baik...

No comments: