Pengetua MCKK, Mohd Rauhi Mohd. Isa
Mukadimah
PADA 30 Mac lalu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan senarai Sekolah Kluster iaitu sekolah yang cemerlang dalam klusternya dari aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid.
Tujuan pewujudan Sekolah Kluster ini antara lain bagi melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia, membangun sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kelompok yang sama dan sekolah lain di luar kelompok dan menjadi showcase di peringkat antarabangsa.
Pada hari yang sama juga Hishammuddin mengumumkan penganugerahan kuasa autonomi kepada Sekolah Kluster. Melalui kuasa autonomi itu, pihak sekolah diberi fleksibiliti dan kebebasan untuk memilih dan mengiklan calon guru serta staf sokongan yang dikehendaki untuk berkhidmat dan mengajar di sekolah masing-masing.
Pihak sekolah juga diberi kebebasan memilih kursus dan program yang sesuai untuk dihadiri para guru serta kebebasan menggunakan khidmat dan kepakaran pihak luar dalam bidang yang diperlukan untuk memajukan sekolah termasuk dalam bidang sukan.
Begitu juga beberapa keistimewaan lain dalam mewujudkan dana dan tabungan sekolah, pengambilan murid, pengajaran dan pembelajaran serta penilaian dan peperiksaan.
Dalam memenuhi hasrat Kementerian Pelajaran ini, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang turut disenaraikan sebagai sebuah Sekolah Kluster bagi kelompok sekolah berasrama penuh sedang berusaha untuk melaksanakan konsep Sekolah Kluster itu sepenuhnya sebelum hujung tahun ini
Pengetua MCKK, Mohd Rauhi Mohd. Isa, dalam satu temu bual dengan Mingguan Malaysia pada Jumaat lalu yakin, konsep itu akan dilaksanakan seperti yang dirancangkan. Malahan beliau berazam untuk melonjakkan lagi kecemerlangan MCKK yang sedia ada.
‘‘Pihak atasan merancang konsep, kita membuat pengisian. Kecemerlangan yang sedia ada akan kita lonjakkan,’’ kata Mohd Rauhi.
Ditanya sama ada beliau akan menggunakan kuasa autonomi termasuk dalam pengambilan guru, beliau menjelaskan:
‘‘Saya akan menghantar guru-guru saya ke sekolah-sekolah yang mempunyai guru-guru terbaik itu dan belajar daripada mereka.’’
Ikuti wawancara penuh bersama Wahid Hashim dan Hasani Hassan.
Mingguan: Kini sebagai pengetua, kuasa sudah berada di tangan, garis panduan pula telah disediakan oleh Kementerian Pelajaran, apa yang berada dalam fikiran tuan pengetua?
MOHD RAUHI: Sebagai permulaan, walaupun kuasa di tangan pengetua, tetapi kita mempunyai badan yang ada kaitan dengan pihak sekolah, misalnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan juga lembaga pengelola yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.
Lembaga pengelola juga mempunyai pandangan sendiri, umpamanya apakah autonomi yang pihak sekolah perlu ada.
Perkara utama ialah bagaimana hendak menggembleng pendapat badan pengelola, PIBG dan pihak sekolah bagi membentuk satu tindakan dan aspek yang kita ingini, bukan setakat pandangan pengetua, tetapi perlu mengambil kira pandangan pihak lain. Jadi untuk tujuan itu, kita sudah membuat beberapa perancangan.
Yang di-Pertuan Agong dalam titah baginda pada sambutan 100 tahun MCKK, telah menggubal perancangan MCKK. Begitu juga dengan PIBG dan guru turut mempunyai pandangan tertentu. Dan dalam tempoh seminggu ini, kita akan
menganjurkan seminar di kalangan pelajar-pelajar untuk melihat apa pula yang mereka mahu.
Bagi saya, autonomi adalah satu keistimewaan yang diberi kepada sekolah untuk melonjakkan lagi pengurusan dan kemenjadian.
Adakah dengan kuasa autonomi, pengetua akan hand-pick (pilih sendiri) guru terbaik daripada sekolah lain?
MOHD RAUHI: Tidak. Saya akan menghantar guru-guru saya ke sekolah-sekolah yang mempunyai guru-guru terbaik itu, dan belajar daripada mereka.
Bukankah lebih sesuai memohon guru terbaik dari mana-mana sekolah, khususnya dalam keadaan kritikal sekarang, iaitu untuk memulakan Sekolah Kluster?
MOHD RAUHI: Mungkin ada betulnya. Kita ada niche area (kebitaraan) yang hendak ditingkatkan, oleh sebab itu guru-guru mestilah yang terbaik. Mereka perlulah guru-guru yang bersedia.
Bukankah hak itu ditentukan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG)?
MOHD RAUHI: Saya mencadangkan pengetua masuk dalam jawatankuasa pemilihan. Saya rasa jika input (guru) itu berkualiti, maka senang hendak uruskan (Sekolah Kluster). Dalam hal ini kita hendak tengok orang itu (guru) dahulu.
Memandangkan para pelajar di sini pintar cerdas (gifted and talented), maka emosi pelajar perlu dikawal dengan baik. Kita perlukan cikgu yang memahami mereka. Jadi cikgu mesti mengetahui terlebih dahulu (aspek ini). Para pelajar pintar cerdas mempunyai atitud yang berlainan. Jadi, guru mesti memahami.
Adakah tuan pengetua mencadangkan supaya mengadakan latihan ala MCKK kepada bakal guru yang hendak mengajar di MCKK?
MOHD RAUHI: Ya. Sebelum masuk, ada proses dulu.
(Guru) Perlu ada induksi dan penyesuaian. Kita tidak mahu guru dengan pengetahuan yang asas sahaja datang ke sini. Sementara itu, guru yang ada kita kembangkan (potensi mereka).
Mungkin timbul perasaan berkecil hati jika guru sedia ada terpaksa mengajar di sekolah lain, kerana tidak sesuai di sini.
MOHD RAUHI: Tidak timbul isu berkecil hati. Semua (cikgu) sekarang okey... saya mempunyai perancangan bagaimana hendak meningkatkan potensi mereka, terutama dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) supaya boleh menjadi contoh kepada sekolah lain dan di peringkat antarabangsa, sekolah ini boleh menjadi showcase.
Kita mahu menjadi seperti Raffles Institution.
Bagaimanakah autonomi dari segi pengambilan pelajar?
MOHD RAUHI: Kita akan fikirkan apakah mekanismenya.
Adakah perlu dibuat temu duga kemasukan pelajar ke MCKK?
MOHD RAUHI: Memang saya ada cadangkan. Bagaimana mekanismenya, kita belum tentukan. Sama ada kita hendak temu duga atau perlu buat ujian fizikal seperti suruh dia (calon pelajar) berlari ke.. apa yang penting, kita ada peranan (dalam pemilihan).
Campur tangan pengetua dalam pemilihan adalah penting sebab kita tidak mahu pelajar-pelajar yang masuk sekejap, tetapi keluar balik.
Kita hendak yang betul-betul berminat... bukan kerana ibu bapa yang mahukan anaknya dihantar ke sini.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan senarai 30 buah Sekolah Kluster pada 30 Mac lalu. Walau bagaimanapun, masyarakat masih belum nampak apa itu Sekolah Kluster.
MOHD RAUHI: Memang susah hendak nampak. MCKK memang sudah sedia cemerlang dalam pengurusan dan kemenjadian. Oleh sebab perkara itu ‘perkara biasa' jadi tidak nampak (perbezaan). Sebenarnya, konsep (Sekolah Kluster) berkembang dan kita mempunyai program untuk memantapkan kecemerlangan.
Dengan pengaruh raja-raja, bagaimana hendak menggunakan kelebihan pengaruh itu?
MOHD RAUHI: MCKK mendapat perhatian Majlis Raja-Raja Melayu semasa menyambut ulang tahun 100 tahun. Kebetulan Pengerusi Lembaga Pengelola ialah Raja Nazrin. Jadi baginda memainkan peranan.
MCKK tetap untuk lelaki?
MOHD RAUHI: Ya. Kita mahu menjaga keistimewaannya. Begitu juga kalau Kolej Tengku Khursiah dibuka untuk pelajar lelaki, hilanglah keistimewaannya.
Dari segi kewangan, Kementerian Pelajaran akan menambah lebih banyak dana MCKK. Adakah ia mencukupi?
MOHD RAUHI: Kita mempunyai ramai bekas pelajar yang menghulurkan sumbangan apabila perlu. Terpulanglah kepada kertas kerja yang kita sediakan. Pegawai-pegawai mesti mantap dalam menguruskan kewangan.
Pengetua juga diberi kuasa autonomi untuk memperkenalkan subjek baru dalam kurikulum. Adakah tuan akan berbuat demikian?
MOHD RAUHI: Kita bukan menambah subjek, tetapi hendak menambah aliran. Sekarang kita ada aliran Sains Tulen sahaja. Bagi saya, ada kelebihan jika diadakan juga aliran Sains Sosial kerana bukan semuanya minat dengan Sains Tulen.
Para pelajar ini ada yang berminat menjadi akauntan dan sebagainya. Jika tidak berminat bidang sains, pelajar akan tertekan. Jadi perlu ada aliran lain sebagai alternatif kepada pelajar-pelajar.
Pada saya,
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menguji tahap pengetahuan, Penilaian Menengah Rendah (PMR) menguji tahap pemahaman dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menguji kemahiran aplikasi. Sebab itu, pelajar-pelajar cemerlang UPSR ada yang gagal menguasai Sains Tulen.
Bagaimanakah hendak memberi sokongan moral kepada warga MCKK bahawa mereka sudah dipilih sebagai ‘the best’?
MOHD RAUHI: Semua mesti bersemangat dan ada perasaan. Mesti ada penyertaan bersama dalam semua peringkat. Kita panggil buat perbincangan dengan guru.
Setiap sekolah perlu menonjolkan satu aspek dan kelebihan.
MCKK ialah sekolah tiga dalam satu iaitu sebuah sekolah berusia 100 tahun, sekolah berasrama penuh (SBP), dan sekolah premier.
Sempena 100 tahun MCKK pada 2005, apakah hala tuju yang digariskan oleh Yang di-Pertuan Agong semasa sambutan?
MOHD RAUHI: Sebenarnya mereka (Lembaga Pengelola) membuat satu kajian, sebelum ada autonomi. Memang kita memikirkan apakah hala tuju MCKK, dan salah satu aspeknya ialah autonomi.
Sebab itu
Lembaga Pengelola menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji apakah sebenarnya (hala tuju) yang kita mahu dan kita namakan Projek Sayong. Jadi, dapatan daripada projek itu diserahkan kepada Lembaga Pengelola. Jawatankuasa ini diketuai oleh Datuk Azman Mokhtar. Pihak Lembaga Pengelola bersetuju, dan kemudian dibincang di peringkat sekolah dan hal itu sudah dibawa ke pihak kementerian. Jadi pihak kementerian bersetuju pada dasarnya dengan dapatan itu.
Hal itu sebelum lagi autonomi diisytiharkan oleh kerajaan. Proses yang kita buat ialah menggabungkan pandangan sekolah dan PIBG.
Bila konsep Sekolah Kluster boleh dilaksanakan sepenuhnya di MCKK?
MOHD RAUHI: Insya-Allah sebelum akhir tahun siap semuanya.
Pihak atasan mencadangkan konsep, kita membuat pengisian. Kecemerlangan yang sedia ada akan kita lonjakkan.
Ada yang memperlekehkan idea Sekolah Kluster sebagai satu mitos. Adakah perlu mengambil jurulatih luar sehebat Ronaldo – sehingga sehebat itu?
MOHD RAUHI: Why not? Tapi kalau kita dah ada jurulatih yang mampu membawa sesuatu bidang sehingga ke tahap antarabangsa, buat apa hendak ambil?
Di MCKK, perkara itu bukan menghairankan. Kita pernah ambil jurulatih Fiji untuk sukan ragbi. Tengok pada keperluan, jika perlu untuk melonjak, kita ambil. Yang pentingnya matlamat kita, sama ada hendak ke peringkat dalam negara atau antarabangsa.
Dalam hal ini, apakah tindakan pelaksanaan yang akan diambil?
MOHD RAUHI: Sekolah-sekolah yang dipilih sebagai Sekolah Kluster termasuk MCKK memang sekolah yang cemerlang. Ada kriteria-kriteria tertentu yang menyebabkan ia dipilih. Sekolah tentu ada kelebihan dalam beberapa aspek yang tertentu.
Jadi tugas kami apabila dipilih ialah untuk melonjakkan lagi kecemerlangan itu.
Kita melihat ini dari dua segi, pertama memantapkan pengurusan dan yang kedua dari segi kemenjadian terutama dalam tiga aspek iaitu kurikulum, kokurikulum dan sahsiah.
Sekarang ini kita hendak melonjakkan lagi umpamanya meningkatkan ke peringkat antarabangsa.
Melalui kluster kita berharap akan dapat satu keistimewaan yang kita katakan autonomi itu.
Berapa ramai pelajar di MCKK sekarang?
MOHD RAUHI: Bilangan pelajar ialah 674 orang dan guru 65 orang. Untuk pelajar baru ke tingkatan satu, kita sediakan empat kelas, dan pengambilan tambahan tingkatan empat ada dua kelas.
Selama ini MCKK terkenal sebagai tempat yang melahirkan ramai pemimpin. Adakah kebitaraan ini tetap menjadi agenda utama?
MOHD RAUHI:
Kepimpinan memang aspek yang hendak ditonjolkan. Ini memang ‘trademark' MCKK. Apabila kita bercakap tentang kepimpinan, kita mahu pelajar yang boleh merancang, mengelola dan boleh menarik rakan-rakan untuk turut sama dalam sesuatu aktiviti.
Kualiti kepimpinan ini akan dikembangkan ke peringkat antarabangsa. Pelajar kita banyak memberi sumbangan di kampung-kampung dalam bentuk motivasi, dengan mengadakan sekolah angkat termasuk di sekolah-sekolah Orang Asli.
Menjadi ketua tidak semestinya pemimpin, tetapi seorang pemimpin memang ketua, kemahiran kepimpinanlah yang kita hendak bangunkan.
Jadi sekarang usaha itu perlu digandakan berbanding sekolah lain?
MOHD RAUHI: Lagi ramai pemimpin yang boleh dilahirkan maka lagi bagus. Tetapi tumpuan kita hendak mantapkan. Pertama kita hendak pertingkatkan kepimpinan di peringkat antarabangsa, bukan setakat di sini sahaja.
Kita boleh bergerak hingga ke luar dan pulang memberi pandangan berdasarkan pengalaman dari luar. Ini yang kita hendak. Jika ramai pemimpin dikeluarkan oleh SBP dengan konsep kluster maka lagi bagus.
Kalau dibandingkan, memang kita berhasrat supaya MCKK dapat menghasilkan lebih banyak dari yang lain. Kita berharap menjadi penyumbang utama kepada lahirnya pemimpin sama ada di dalam sektor kerajaan, politik, perniagaan, tokoh korporat dan lain-lain.
Apakah pencapaian MCKK di persada antarabangsa?
MOHD RAUHI: Ada permainan-permainan yang sudah berada di peringkat antarabangsa, contohnya perlawanan ragbi tahunan dengan Vajiravudh College, Bangkok, dan Raffles Institution, Singapura. Pasukan bola keranjang pula mengadakan perlawanan dengan Modern School of New Delhi, India.
Bagaimana dengan peringkat tempatan?
MOHD RAUHI: Di peringkat sekolah berasrama penuh, kita sudah menjadi juara empat tahun berturut-turut dalam perlawanan bola keranjang.
Pasukan bahas kita juga mempunyai kelebihan, walaupun tidak menang di peringkat sekolah berasrama, tetapi menang pertandingan di Universiti Islam Antarabangsa.
Menang kalah adat pertandingan tetapi yang penting kita digeruni oleh pihak lawan. Bila sebut MCKK orang dah gerun.
Adakah para pelajar tahu mereka di Sekolah Kluster?
MOHD RAUHI: Kita selalu menegaskan kepada mereka tentang Sekolah Kluster untuk menarik minat dan peranan mereka. Memang para pelajar sedar, ini jelas kelihatan apabila sebelum ini pasukan orkestra hanya menang peringkat negeri Perak, tetapi apabila diberitahu tentang Sekolah Kluster, mereka menjadi lebih bersemangat sehingga mampu menang tempat ketiga dalam pertandingan peringkat kebangsaan.
Bagaimana dengan kerjasama dengan pihak luar seperti universiti?
MOHD RAUHI: Kita melihat mengikut aspek-aspek yang kita perlukan dan memang berminat ke arah itu. Ada sesetengah negara di mana pelajar yang hebat boleh menumpang kelas di universiti, contohnya seperti di New Zealand.
Kita memang berminat tetapi kita kena tengok beberapa peraturan yang perlu diambil kira terlebih dahulu. Untuk masa yang akan datang, kita juga ingin mencari peluang supaya para pelajar boleh mengambil kursus-kursus profesional tertentu.
Tuan akan menyertai lawatan pengetua dan guru besar Sekolah Kluster ke King's College. Apa yang bakal diperoleh?
MOHD RAUHI: Saya rasa, ke mana-mana pun kita pergi, banyak perkara yang boleh kita pelajari dan aplikasi. Saya pernah mengikuti kursus kepimpinan di luar negara, dan boleh lihat perbezaan.
Bila berada di sana (luar negara) senang untuk kita berfikir di luar kotak, oleh itu mudah membuat perancangan.
Apa agaknya kejayaan yang kita hendak tengok?
MOHD RAUHI: Kita akan buat indikator penunjuk prestasi (KPI) sendiri untuk menentukan apakah hasil kejayaan yang hendak dicapai. Contohnya dalam sukan ragbi, apa kriteria yang hendak dilihat, dan dalam akademik sejauh mana pencapaian kita.
Sebab itu kita hendak mantapkan guru.
Sekarang senjata sudah berada di tangan tuan pengetua, apakah tindakan selanjutnya?
MOHD RAUHI: Kita ada asas yang cukup kuat untuk melonjakkan kecemerlangan dan menjadi model yang terbaik.