Monday, April 26, 2010

Masa Untuk Menunaikan Janji..

HULU SELANGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), P Kamalanathan pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor semalam sebagai satu peralihan besar sokongan rakyat kepada BN.
MENANG...Najib  bersama Muhyiddin  mengangkat tangan  Kamalanathan 
selepas diumumkan memenangi  pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 
di  Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu, malam tadi.
MENANG...Najib bersama Muhyiddin mengangkat tangan Kamalanathan selepas diumumkan memenangi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu, malam tadi.
Pengerusi BN itu berkata, kemenangan itu membawa erti yang amat besar kepada BN kerana bertanding di negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.

“Kemenangan calon BN Kamalanathan membawa erti yang amat besar kerana kalau kita lihat keputusan pada 2008 dan keputusan pada hari ini (semalam), sudah berlaku peralihan sokongan pada BN yang menghampiri 2,000 undi.

“Ini merupakan satu peralihan yang sangat besar ertinya sebab kita bertanding di sebuah negeri yang dikuasai parti (pakatan) pembangkang, kita berjaya menawan semula kawasan ini dalam sebuah negeri yang dikuasai (pakatan) pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan rasmi pilihan raya kecil kawasan itu di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta pemimpin parti komponen BN.

BNmerampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor apabila Kamalanathan menewaskan peguam terkenal dan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil paling sengit sejak pilihan raya umum 2008.

Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan MIC itu memperoleh 24,997 undi menewaskan Zaid, yang dipecat daripada Umno pada Disember 2008 kerana menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Bekas Anggota Parlimen Kota Bharu yang kemudiannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menerima 23,272 undi.

Sejumlah 731 undi rosak pada pilihan raya kecil yang menyaksikan 48,935 pengundi atau 75.87 peratus pemilih keluar mengundi hari ini. Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pengundi.
Pada pilihan raya umum 2008 yang merupakan ‘tsunami politik’ bagi BN, Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel, yang juga Ahli Parlimen kawasan itu selama empat penggal, gagal mempertahankan kerusi apabila tewas dengan majoriti 198 undi kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR. Dr Zainal Abidin meninggal dunia pada 25 Mac lalu.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, kejayaan itu bererti bahawa penduduk di kawasan Hulu Selangor menolak cara parti pakatan pembangkang berpolitik.

“Maknanya, kalau mereka menabur fitnah atau membuat pembohongan, pengundi dah tau untuk buat penilaian atas apa yang benar dan apa yang batil,” katanya.

Beliau berkata, BN menerusi Kamalanathan sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor yang baru akan bekerja bersungguh-sungguh memenuhi amanah, harapan dan jangkaan rakyat selama ini.


“Ini satu amanah rakyat yang kita mesti pandang dengan serius, ambil berat dan mesti laksanakan bukan sahaja semua janji tetapi jangkaan dan harapan rakyat, kita mesti penuhi dalam semua aspek sama ada daripada segi pembangunan, kebajikan dan melayani kehendak pengundi dalam kawasan ini,” katanya. - Bernama

No comments: