Monday, July 7, 2008

Antara bacaan yang aku simpan...


Satu panduan berumahtangga.

Bagaimana Bagi Mengekalkan Keintiman dengan Pasangan Walaupun TanpaMelakukan Hubungan Seksual
Dalam hubungan suami isteri, persoalan seks adalah amat penting. Kepuasan dalam kehidupan seks menentukan rasa puas hati terutamanya kepada lelaki. Namun begitu harus difahami bahawa rasa puas hati dan kepuasan seks ini tidak berhubung kait dengan kekerapan membuat hubungan seks. Perkara paling penting dalam memuaskan kedua belah pihak adalah apa yang dikatakan sebagai keintiman. Dalam kata lain faktor seks hanyalah salah satu faktor kepada kepuasan rumah tangga, dan faktor yang paling penting adalah mewujudkan suasana keintiman. Pasangan yang intim adalah mereka yang berasa hubungan di antara mereka adalah erat dan rapat.
Satu persoalan timbul, tidak adakah hubungan kait di antara intim dan seks?
Ya, memang ada kaitan cuma mengikut kajian pak ar psikologi seks bukanlah faktor wajib dalam keintiman. Maksudnya, sepasang suami isteri yang kurang melakukan seks boleh menjadi lebih intim daripada mereka yang kerap melakukan seks.
Namun begitu dalam situasi lain, aktiviti seks yang berkualiti dapat meninggikan lagi keintiman yang sedia ada. Ertinya, pasangan yang sedia intim apabila menikmati hubungan seks yang baik, mereka menjadi lebih intim lagi. Seks yang berkualiti adalah seks yang dilakukan dengan rasa rela, bersungguh-sungguh dan saling memuaskan. Ia tidak semestinya dilakukan dengan mengambil waktu yang panjang serta diiringi orgasma yang tinggi ataupun berkali-kali.
Berbalik kepada persoalan intim tadi, bagaimana sebenarnya mewujudkan keintiman tanpa melakukan hubungan seksual. Ini disebabkan pandangan terdahulu sudah dinafikan dengan pernyataan bahawa faktor intim dan faktor seks adalah berbeza cuma mereka lengkap melengkapi sahaja.
Sebelum kita pergi kepada bagaimana mewujudkan keintiman kita melihat bagaimana kita hendak mengukur darjah keintiman.
Kayu Ukur Keintiman

Perhubungan suami isteri yang memuaskan adalah perkara yang penting dalam sesebuah rumah tangga. Bagaimanakah kita mahu mengukur darjah kepuasan ataupun keintiman itu?
Keintiman boleh diukur dengan beberapa cara. Salah satu caranya dengan melihat beberapa aspek dalam perhubungan rumahtangga.
Aspek pertama ialah apakah perhubungan suami isteri sekarang ini memenuhi apa yang kita harapkan? Ini sebenarnya persoalan pokok dalam berumahtangga. Sebelum kita berumah tangga pelbagai perkara indah sudah kita gagaskan dalam kehidupan tersebut. Kesemuanya indah-indah belaka. Sibakal isteri mengharapkan pasangannya nanti dapat menjadi suami yang paling romantik di dunia. Manakala si bakal suami mempunyai harapan agar si isteri dapat menjadi sahabatnya dalam apa jua keadaan. Namun begitu pernahkah pengharapan-pengharapan ini dibincangkan bersama ataupun masing-masing hanya tinggal mengharap sahaja? Si isteri berharap sisuami tahu apa yang dia harapkan dan begitu juga sebaliknya.
Mengikut kajian, pengharapan ini boleh dibahagikan kepada dua jenis:-
Pertama - Pengharapan kepada pasangan.
Kedua - Pengharapan kepada perhubungan.
Kita mungkin mengharapkan pasangan yang kita kahwini menjadi seorang yang setia, melayani kita dengan lemah lembut dan kita mahukan pasangan yang bertanggungjawab dalam melayari bahtera rumah tangga. Apabila segala harapan ini dipenuhi, kita berasa puas hati dan bahagia.
Reaksi kecewa dalam perhubungan suami isteri berlaku apabila pasangannya tidak memenuhi harapan yang ingin dipenuhi. Situasi ini selalu berlaku dalam suasana masyarakat kita sekarang. Namun begitu tidak ramai di kalangan kita yang bertanya kepada pasangannya mengenai harapannya terhadap kita, begitu juga kita pula tidak pula memberitahu harapan kita kepadanya. Masih belum terlambat bagi memulakan sesuatu yang baik. Pergilah kepada pasangan kita dan mulakan bicara mengenai pengharapan bersama. Pintu bahagia sentiasa bersedia bagi dibuka oleh semua.
Pengharapan jenis kedua meletakkan kita berharap agar pasangan kita ini sentiasa mesra, saling kasih mengasihi, hormat menghormati dan masing-masing ingin sentiasa bersama dalam apa sahaja keadaan. Kita juga mengharapkan agar pasangan kita sentiasa memberitahu apa yang difikirkan dan dirancangnya sebelum melakukan sebarang keputusan.
Walaupun keintiman, kepuasan dan kebahagiaan sangat dipengaruhi oleh sejauh mana kedua-dua pasangan suami isteri menikmati apa yang mereka harapkan, namun kebanyakan orang tidak pernah bertanya kepada pasangan mereka perkara-perkara yang mereka harapkan. Ingatlah semakin banyak kita mendapat apa yang diharapkan, semakin tinggi kepuasan yang kita nikmati. Semakin kurang mendapat apa yang diharapkan, semakin mendalam rasa tidak puas hati yang kita alami.
Aspek kedua dalam keintiman perhubungan ialah sama ada kedua-dua belah pihak memahami hati sanubari masing-masing. Sepasang suami isteri berasa intim apabila mereka berasa pasangannya tahu dan faham hati sanubarinya. Pasangan yang intim banyak berkongsi fikiran, perasaan, keyakinan, fantasi, angan-angan, minat, tujuan dan latar belakang.
Cuba kita fikirkan sama ada kita ini adalah pasangan yang memahami fikiran pasangan kita ataupun tidak?
Salah satu tanda sepasang suami isteri memahami hati sanubari masing-masing ialah apabila kita bercakap dengan pasangan kita seperti bercakap dengan dua orang yang mempunyai satu kepala. Kita bersetuju dan saling sokong menyokong pandangan masing-masing. Salah satu faktor yang menyukarkan kita memahami pemikiran dan sanubari orang lain ialah perbezaan juang pengetahuan dan pendidikan. Sebagai contoh, adalah sukar bagi seorang yang berkelulusan sekolah menengah memahami pemikiran seseorang yang mempunyai ijazah doktor falsafah terutamanya mengenai angan-angan, impian dan fantasinya.
Aspek keintiman yang ketiga ialah sama ada kita dengan pasangan kita saling mengambil berat di antara satu sama lain. Pasangan yang intim sentiasa mengambil berat berkenaan diri dan perasaan satu sama lain. Ramai pasangan suami isteri menyangka pasangan mereka boleh membaca apa yang ada dalam kepala mereka, jadi mereka tidak perlu memberitahunya. Sangkaan ini adalah seratus peratus salah disebabkan pasangan kita tidak mungkin tahu apa yang ada dalam kepala kita.
Ini menyebabkan pasangan kita mengagak-agak sahaja apa yang dia patut buat, ataupun tidak bagi memuaskan kita. Akibatnya apabila agakannya salah, kita berasa pasangan tidak mengambil berat mengenai diri kita dan ini membuat kita berasa tidak puas hati dan tidak bahagia.
Aspek keempat keintiman ialah saling percaya mempercayai. Di sini kedua-dua pihak saling mempercayai akan cinta dan kesetiaan masing-masing. Kita dan pasangan kita juga saling harap-mengharapkan dan kita mempunyai tekad dan komitmen bersama bagi terus saling cinta-mencintai hingga akhir hayat.
Berdasarkan ciri-ciri di atas, jelaslah bahawa bukan semua perkahwinan menikmati keintiman, kepuasan dan kebahagiaan. Malah tidak semua pasangan suami isteri kekal tidak bercerai merupakan pasangan intim, puas dan bahagia. Pengharapan suami isteri tidak pernah betul-betul serupa, tetapi tidak dinafikan ada jenis-jenis harapan biasanya serupa antara suami isteri.
Kedua-dua pengharapan iaitu pengharapan kepada pasangan dan perhubungan sangat penting. Maka setiap pasangan kekasih ataupun suami isteri harus belajar bagaimana teknik-teknik mencipta keintiman agar sama-sama menikmati rasa kepuasan di dalam perhubungan cinta mahupun perkahwinan.

Mewujudkan Keintiman Perhubungan yang intim adalah apabila kita merasakan diri kita difahami dan diterima oleh pasangan kita. Begitu juga kita percaya bahawa pasangan kita juga boleh menerima dan terbuka bagi menghadapi kekurangan dan kelebihan kita. Keintiman boleh jadi melibatkan intelektual, emosi dan fizikal.
Keintiman adalah apabila kita mendengar dengan baik apa sahaja yang dikatakan oleh pasangan kita, bertukar-tukar pandangan serta idea, berkongsi perasaan antara satu sama lain tanpa sebarang ketakutan dan juga cuba memahami mengapa kita serta pasangan kita melakukan apa yang dilakukan.

Perkara yang paling penting dalam mewujudkan keintiman adalah cara berkomunikasi dengan pasangan kita. Kita boleh berkomunikasi dengan perkataan, perbuatan, riak muka dan sentuhan. Kajian menunjukkan bahawa kualiti perhubungan amat berkadar langsung dengan teknik kita berkomunikasi dengan pasangan kita. Namun begitu ini bukanlah bermaksud kita harus selalu duduk bersama dan bercakap mengenai perhubungan. Ia bermaksud yang kita harus bercakap perkara yang sepatutnya. Kita tidak takut untuk mengeluarkan apa yang kita benar-benar fikirkan dan rasakan serta pasangan kita juga seharusnya berbuat begitu.
Mari kita sama-sama mencuba teknik-teknik di bawah bagi meningkatkan lagi teknik berkomunikasi dalam perhubungan kita :
a) Memperbaiki imej diri kita
Komunikasi amat dipengaruhi oleh imej diri kita. Penampilan diri, pendidikan, pencapaian, profesion dan kesihatan, kesemuanya adalah sebahagian daripada imej diri kita. Apabila kita mempunyai imej diri yang rendah, kita menjadi malu bagi menampilkan diri kita. Kita mungkinberasa bahawa pasangan kita amat kritikal terhadap kita walaupun sebenarnya tidak. Kita harus belajar menghadapi ketakutan estim diri yang rendah. Imej diri yang baik banyak membantu kita dan pasangan kita menghantar dan menerima mesej komunikasi yang lebih tepat.
b) Berlatih Teknik Mendengar
Aktif Mendengar adalah lebih penting daripada bercakap. Kebanyakan kita tergolong dalam kumpulan pendengar yang tidak baik. Bukannya bermaksud kita ini pekak atau tulis tetapi kita selalu tidak memberi peluang pasangan kita bercakap terlebih dahulu dan kemudian baru kita bercakap. Perkara ini harus diberi perhatian oleh setiap pasangan. Kepentingan belajar mendengar dahulu dan kemudian bercakap perlu dipandang serius bagi memantapkan perhubungan serta keintiman. Kita perlu tunjukkan bahawa kita mengambil perhatian kepada apa yang difikirkan dan dilakukan oleh pasangan kita. Cuba fahami apa yang pasangan kita rasakan dan jangan membuat tanggapan bahawa kita sudah tahu apa yang mereka rasakan.
c) Jangan Bergantung Kepada Bacaan Minda kita.
Cubaan bagi membaca fikiran pasangan kita dan mengharapkan pasangan kita boleh membaca apa yang kita fikirkan adalah satu tindakan yang salah. Ini boleh menyebabkan kekecewaan kepada kedua-dua pasangan. Sebagai contoh, apabila pasangan kita bercerita mengenai rumah rakannya yang mahal dan sahabatnya mendapat kenaikan pangkat. Kita mungkin berasa bahawa dia ingin mengkritik kita tidak dapat gaji yang lumayan ataupun kerja yang hebat. Apabila keadaan ini berulang kali berlaku, kita merasakan bahawa kita tidak dapat menyatakan sesuatu tanpa menyinggung perasaan pasangan kita dan diri kita. Kemudian kita cuba agar tidak bercakap diantara satu sama lain bagi mengelakkan pertengkaran dan pergaduhan.
Selepas itu masing-masing berasa tersinggung dengan kedinginan perhubungan itu. Masing-masing merasakan bahawa senyap itu adalah satu hukuman kepada . Kita seharusnya bertanya dan mengenal pasti apa sebenarnya dimaksudkan oleh pasangan kita dan bukannya membuat tanggapan melulu. Kesombongan dan kekerasan hati selalunya menimbulkan banyak masalah dalam mewujudkan komunikasi yang jujur di antara pasangan suami isteri. Kita banyak menganggap pasangan kita faham tanpa memberitahunya apa-apa.Beritahu pasangan kita apa yang kita fikirkan dan rasa, kemahuan dan kehendak. Apabila kita mendapati diri kita selalu berkata di dalam hati "Dia seharusnya tahu apa yang aku kehendaki" ataupun "Aku tidak sepatutnya memberitahu dia mengenai perkara ini", maka kita perlu belajar memperbaiki teknik komunikasi rumah tangga kita.
d) Belajar Bercakap Mengenai Diri Kita.
Kita mungkin tidak tahu bagaimana caranya bagi berkata apa yang kita ingin katakan bagi memastikan pasangan kita memahami apa yang kita rasa. Jadi mulakan daripada saat ini, belajar bercakap mengenai diri kita. Gunakan bahasa saya. Sebagai contoh saya rasa, saya ingin ,saya hendak. Ini membantu diri meluahkan perasaan kita dan memberitahu apakan sebenarnya kita rasa dalam bahasa yang tidak menjadi ancaman kepada pasangan kita.
e) Menghormati dan Memberi Sokongan Kepada Pasangan
Apabila kita menghormati satu sama lain, kita cuba tidak memanggil pasangan kita dengan panggilan nama dan menggunakan panggilan yang lebih mesra seperti "Sayang! Darling! Manja!". Selalu menggunakan perkataan menunjukkan perasaan seperti "terima kasih, tolonglah" dan sebagainya.
f) Sentuhan Bererti.
Sentuhan adalah perkara yang amat disukai oleh manusia. Ia boleh dalam keadaan yang ghairah dan tidak. Urut, meletakkan tangan di bahu dan mandi bersama adalah contoh-contoh sentuhan yang membawa kepada keintiman.
g) Pasangan Kita adalah Yang Paling Utama.
Kita harus cuba mengenal pasti apa yang penting bagi pasangan kita. Jangan pula menganggap apa yang memenuhi kehendak kita juga memenuhi kehendak pasangan kita. Bertanyalah apa yang menyebabkan pasangan kita merasakan dia disayangi. Jangan ambil perkara sayang ini secara sambil lewa. Cuba kita buat panggilan mengejut yang tak disangka, makan malam yang istimewa, bunga dan hadiah menyatakan sebagai tanda kasih kita pada pasangan kita. Ideanya adalah berkomunikasi dengan pasangan walaupun si dia tidak berada berdekatan.
h) Berkongsi Perkara Besar dan Kecil.
Kita perlu berkongsi dengan pasangan kita apa sahaja tidak kira besar mahupun kecil. Kongsikan impian kita dan ketakutan kita. Ceritakan kisah lampau yang mempengaruhi diri kita dalam kehidupan sekarang. Bercakap mengenai perkara sedih dan lucu yang berlaku seharian. Bersedia mengetawakan diri kita, tumpukan kepada cerita-cerita lawak yang tidakmengenakan orang laun tetapi menyebabkan kita ketawa bersama.
i) Berlaku Jujur.
Pastikan bahawa pasangan kita berasa selamat bagi berlaku jujur dan terbuka bagi meluahkan perasaan serta idea mereka. Nyatakan apa yang kita fikirkan dan bersedia untuk menerima pandangan pasangan kita walaupun ia berbeza. Walaupun ia berbeza daripada sudut perasaan dan boleh menyebabkan kita marah. Cuba tapis segala percakapan kita agar tidak menyakitkan hati dan menyebabkan pasangan kita berasa tersinggung. Berhati-hati dalam menyatakan sesuatu maklumat. Sasaran kita adalah berkomunikasi di samping mewujudkan suasana positif dan perhubungan yang penuh kasih sayang.
j) Uruskan Konflik dengan Bijaksana.
"Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri"Perhubungan yang baik tidak akan menjadi benar-benar intim sehingga kita mengetahui apayang difikirkan oleh pasangan kita. Ini bermakna kita seharusnya mengeluarkan segala kesedihan dan perbezaan pandangan ke depan secara terbuka dan tidak terseksa dalam "kesenyapan". Bercakaplah dan cuba mencari apa yang silap. Kemudian berbincang dan membuat keputusan bersama. Ini adalah satu petanda perhubungan yang intim dan sihat.
Suami dan isteri seharusnya sentiasa berkomunikasi mengenai apa sahaja. Perkara yang berat mahupun yang ringan. Dalam perhubungan rumah tangga seharusnya perkara-perkara melibatkan seks ini diperbincangkan secara terbuka. Apabila kita berselindung mengenai sesuatu perkara penting terutamanya mengenai seks ini ia akan menjadi duri dalam daging kepada rumah tangga. Seks adalah keinginan bersama dan bukannya keinginan lelaki sahajaataupun perempuan sahaja. Apabila salah seorang mempunyai masalah seharusnya seorang lagi prihatin dan peka. Apabila kita tidak berkomunikasi dengan baik mengenai perkara ini, ia menyebabkan satu pihak merasa tidak puas hati ke atas perkara yang dia tidak ketahui.
Persoalan rumah tangga bukannya boleh dipelajari dengan ilham dan fikiran kita sahaja. Ia perlu dikaji dan dipelajari berlandaskan ilmu dan agama. Jika suami isteri berilmu, kehidupan berumah tangga pasti harmoni serta keintiman berkekalan daripada saat menyatakan "Aku cinta padamu" yang pertama hingga ke akhir hayat.

No comments: