Hari ini adalah hari pertama ujian PTP "Speaking Component" bagi negeri Perak. Aku bertindak sebagai ketua pusat dan ketua pemeriksa buat kali pertama! Format penilaian sama seperti MUET yang dijalankan bersama pelajar tingkatan 6 dan mereka yang sedang menghabiskan ijazah pertama di universiti.
Pada peringkat mula agak gugup juga memandangkan ramai calon yang hadir nampak hebat dan bersedia, dan aku pula seperti biasa macam kelam kabut je! Sempat gak aku sms member aku.."Aku nervous sama macam yang nak ambil exam!"...lepas tu handphone kena off la!
Sepanjang 5 jam mengendalikan PTP pagi tadi aku terpaksa mengatakan bahawa aku benar-benar kecewa dengan tahap pencapaian guru yang mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris...Terlalu ramai yang tidak mampu berkomunikasi dengan penuh keyakinan dan menggunakan kosakata yang bertepatan dengan maksud yang ingin disampaikan. Keadaan itu menyebabkan aku dan rakan pemeriksa menjadi bosan dan mengantuk sehingga adakalanya kami juga turut serta dalam perbincangan mereka untuk memanaskan suasana sekaligus memberi idea untuk guru-guru itu terus bercakap.
Cuba bayangkan keadaan itu di dalam kelas apabila tahap keyakinan guru sangat rendah untuk menyampaikan maklumat dalam Bahasa Inggeris. Pasti sekali para pelajar turut merasa bosan dan hilang minat terhadap mata pelajaran yang diajar.
Pihak Kementerian Pelajaran telah melakukan tindakan yang bertepatan tetapi terlalu lewat untuk memperbaiki kelemahan yang telah lama berlaku. Apapun sekurang-kurangnya kini banyak pihak telah mula menyedari kelemahan yang wujud dalam sistem pendidikan di sekolah kita.
Walaupun ramai yang mengatakan BISP yang diberikan kepada guru-guru untuk meningkatkan kebolehan diri mereka dalam Bahasa Inggeris tetapi masih ramai guru yang menganggap perkara itu tidak penting. Malangnya anak-anak kita juga yang menjadi mangsa. Bayangkan anak-anak kita 15 tahun lagi apabila mereka memahami tetapi tidak mampu bertutur dengan fasih dek kesilapan dari awal lagi.
Cadangan aku ialah setiap guru yang perlu mengajar Matapelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris perlulah diberi latihan dan menduduki ujian setiap tahun untuk melayakkan mereka menerima BISP. Sekiranya mereka tidak lulus, elaun itu tidak wajar diberikan kepada guru tersebut kerana ia adalah satu pembaziran wang rakyat. Biarlah mereka pakar dalam bidang yang mereka ceburi bukan semata-mata main tangkap muat. Sekurang-kurangnya biarlah Bahasa Inggeris SPM mereka C3 atau C4. Dan sepatutnya mereka mengikuti interview terlebih dahulu sebelum mengajar matapelajaran kritikal ini supaya mereka membina tahap keyakinan awal sebelum masuk ke kelas dan memusnahkan harapan anak-anak murid mereka.
Ramai di antara kita masih belum mampu mengakui kelemahan diri dan mengaku bahawa kita memerlukan bantuan...
No comments:
Post a Comment