Semalam satu kursus asas tani Cendawan berjaya dijalankan di Taiping. Kursus ini mendapat sokongan padu dari Jabatan Pertanian LMS, pihak TEKUN dan MARDI. Walaupun yang hadir hanya 16 orang tetapi ia merupakan satu sambutan yang menggalakkan. Aku berperanan sebagai Emcee, bidan terjun! Apa yang menariknya ialah, rakan aku menempah sijil pada rakan sejawat aku di sekolah sini, maka tadi waktu rehat sempatlah dia bertanya pasal kursus tu sebab nama aku tertera pada sijil yang sedang dicetak!
Pada mula aku akui aku agak was-was dengan perancangan kursus ini tetapi akhirnya aku juga bergerak sama laju kerana ini adalah satu cara dari banyak-banyak cara yang ada untuk membangunkan bumiputera yang sedang lena.
Ramai diantara yang hadir datang sejauh dari Kulim, Lunas dan ada seorang Cik Salina yang memandu jauh dari Georgetown, Pulau Pinang semata-mata untuk ilmu. Aku salut pada dia dan juga dua wanita yang amat menarik kisahnya kerana mereka sebenarnya bermadu! Aku tidak pula bertanya mana nombor satu dan mana nombor dua, cuma apa yang menarik bagi aku ialah keadaan mereka yang lebih kepada ingin mendapatkan ilmu dari bercakaran mendapatkan suami. Pakaian dan gaya mereka sedondon dan sering bercerita tentang apa yang mereka ingin capai dalam perniagaan ini. Aku cukup tertarik dengan cara suami mereka yang datang menghantar dan datang mengambil tanpa mengambil tahu atau bercampur gaul dengan ahli peserta lain mahupun dengan fasi yang duduk sebelah meja si suami dan dua kanak-kanak lelaki sambil menikmati makanan mereka. Semua keadaan dikawal penuh oleh kedua wanita ini melalui soalan-soalan yang ditanya, jelas menunjukkan bidang perusahaan cendawan ini adalah untuk mereka berdua.
Bila aku bersembang, jelas kelihatan bagaimana kak Z bercerita bahawa suaminya yang begitu bersemangat menghantar mereka untuk berkursus. Mereka sanggup datang dari Kulim dan ingin memulakan perniagaan cendawan secepat mungkin. Tambahan pula setelah mengetahui bahawa aku juga sedang mengusahakan perniagaan yang sama. Akhirnya sempatlah kami bertukar nombor telefon dan pasti satu rangkaian lagi di Kulim akan dibuka laluan melalui syarikat kami yang tak seberapa adanya!
Semasa kursus itu, aku juga berkenalan dengan Wani, pemegang ijazah engineering yang pernah bekerja di Johor tapi membuat keputusan untuk pulang ke Taiping kerana bapanya yang sedang tenat sakit. Beliau juga berminat dengan cendawan dan sudah disunting oleh MD kami untuk berkhidmat di syarikat yang tak seberapa adanya itu sebagai kerani cum ahli lembaga!
Menariknya ialah aku dan dia memang sekepala! Akhirnya setelah bergebang dan bersembang, tersemburlah idea-idea untuk membuat kursus-kursus lain. Antaranya ialah kursus asas agama, kursus asas mengaji, kursus suami isteri dan macam-macam idea yang belum lagi dihalusi dan diperkemaskan. Apa yang pentingnya ialah idea untuk tidak duduk sahaja.
Keadaan sedemikian memang aku suka sebab bagi aku masa 24 jam seharian perlu dipenuhi dengan aktiviti yang berisi dan bukan sekadar duduk depan tv semata-mata kerana masa berkuantiti tapi tidak berkualiti menunjukkan kita tidak menghargai masa yang ada...Wallahuallam!
So malam ni aku ada mesyuarat pukul 8.30 malam dengan Wani dan mungkin dengan ahli yang lain. Kumpulan kami sangat menarik kerana ia lebih kepada sering melengkapi dari mencari kekurangan. Keadaan ini mewujudkan tiada kebergantungan antara mana-mana pihak. Apa yang pentingnya semua memahami matlamat untuk membina rangkaian perniagaan yang pastinya dapat menjana pendapatan yang berterusan untuk sesiapa sahaja yang berminat.
No comments:
Post a Comment