“Nasihat yang paling baik bukan nasihat yang boleh dicatat dalam buku sejarah tetapi nasihat yang boleh merubah anda”
Jika anda tanya diri sendiri anda tentu akan mendapat jawapannya. Tetapi jika anda bertanya secara lebih jujur anda tentu akan mendapat jawapan yang berbeza. Bertanya pada diri sendiri membangkitkan dua jawapan satu bersumberkan hati kecil dan satu lagi bersumberkan hati besar.Hati besar akan berkata, “Ah, persetankanlah. Aku bukan baru setahun dua dalam bidang ni. Kalau aku kena pecat pun, aku boleh kerja di mana-mana saja. Setakat kerja di sini apa sangat.”
Jika hati kecil yang ditanya, jawapannya mungkin berbeza. “Alamak, kalaulah betul aku dipecat, memang boleh dapat kerja lain, tapi senangkah nak dapat? Umur dah lanjut, siapa nak ambil orang tua bekerja?”
Diri anda adalah sahabat anda yang paling baik. Tatkala semua orang menolak anda, hati kecil anda masih di situ. Dialah teman tatkala sunyi, tatkala kebinggungan, tatkala gagal mengawal marah, tatkala gembira, ceria mahupun bersedih.
Orang lain mungkin boleh memberikan nasihat yang terbaik, tetapi anda sendiri lebih tahu apakah nasihat yang paling baik. Terbaik bagi orang belum tentu terbaik bagi anda. Dalam soal ini anda hanya memerlukan teman bicara, dia adalah hati kecil anda sendiri.
Bertanyalah diri sendiri sebab ia sahabat paling setia. Tanyakanlah hati kecil supaya mendapat jawapan yang lebih jujur. Hati besar biasanya penuh dengan ego. Namun, bukan bermakna hati besar tidak berguna, di situlah letaknya booster motivasi. Tanpa ego seseorang lebih rela hidup daif konon takut riak, sombong dan takbur, padahal pemalas. Ego menolak manusia membuktikan sesuatu melangkaui batas keupayaan dia yang sebenar. Itu baik, itu perlu, itu penting.
Orang lain mungkin boleh menjadi sahabat kepada anda, tetapi ingat, diri anda sendiri adalah sahabat yang lebih memahami. Jurunasihat terbaik diri anda adalah diri anda sendiri, lantaran dia lebih memahami anda, dia lebih mengetahui kelebihan dan kekurangan anda. Orang lain mungkin boleh memberikan nasihat terbaik tetapi diri anda sendiri yang mengetahui sama ada nasihat-nasihat itu sebenar-benarnya baik untuk anda. Bukan semua nasihat yang baik itu dapat dilaksanakan, lantaran anda sahaja yang mengetahui apakah ia sesuai, tepat dan mampu anda gemblengkan tenaga ke arahnya.
Nasihat yang paling baik bukan nasihat yang boleh dicatat dalam buku sejarah tetapi nasihat yang boleh merubah anda. Ia mungkin mudah, tetapi cukup berkesan untuk anda. Ia mungkin nasihat-nasihat biasa, tetapi anda mampu melaksanakannya.
Buku bukan dinilai pada ilustrasi kulit tetapi apa yang terkandung di dalamnya. Manusia bukan dinilai pada wajah dan pakaian tetapi apa yang tersimpan di dalam hatinya. Kebijaksanaan dinilai pada tindakan bukan apa yang berlegar dalam fikiran.
Ramai orang menjadi gagal kerana terlalu mengikut rasa hati. Itu berbeza dari suara hati. Rasa hati kerap dibaur oleh rasa tidak puas, rasa tidak dipeduli, malah rasa sakit, sedangkan suara hati adalah teman berbual terutama tatkala anda rasa kesunyian. Suara hati selalunya lebih jujur dalam memperkatakan sesuatu. Apabila ia memberikan pandangan biasanya pandangan itu mengambil kira semua kekurangan dan kelebihan anda. Maka ia adalah sebaik-baik teman.
Suara hati adalah terbaik untuk menentukan hala tujuan. Sama ada yang besar atau yang kecil, kedua-duanya tetap teman. Anda boleh mendapatkan pandangan dan pendapat orang lain, namun bermuafakatlah dengan diri sendiri tatkala hendak menentukan arah tujuan.
Sumber: Alfiqrah
kEk c0klAt kUkuS simple....
11 years ago
No comments:
Post a Comment