Cerai 2 serentak
Oleh Hadzlan Hassanhadzlan@hmetro.com.my
KUALA TERENGGANU: Pakatan dua wanita bermadu untuk menuntut fasakh berikutan suami gagal memberi nafkah zahir antara enam hingga 11 bulan akhirnya membawa kepada keruntuhan rumah tangga mereka sekelip mata.Pakatan itu dihidu suami mereka selepas menerima surat daripada peguam kedua-dua isterinya menyebabkan dia memohon kepada Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, untuk melafazkan cerai serta-merta tanpa melalui perbicaraan yang biasanya dilakukan berdasarkan tuntutan fasakh.Roslan Ngah, 44, seorang ahli perniagaan, melafazkan cerai talak satu ke atas kedua-dua isterinya itu bermula dengan lafaz pertama terhadap isteri kedua, Mastura Ahmad, 35, pada jam 11.50 pagi diikuti lafaz kedua terhadap isteri pertama, Norhayati Ismail, 46, selang tiga minit kemudian.“Jika itu yang mereka mahukan, saya akan tunai dan permudahkan tuntutan mereka kerana banyak perkara boleh dielakkan seperti pembaziran wang dan masa jika tuntutan (fasakh) mereka tidak ditukar (kepada perceraian),” katanya kepada wartawan sebelum prosiding terbabit di luar mahkamah itu.
Dia dipercayai berang selepas mendapat tahu kedua-dua isterinya berpakat menuntut fasakh tanpa membuat perbincangan atau merujuk kepada pihak berkaitan untuk menyelamatkan rumah tangga.
Menurutnya, dia hanya mengetahui tuntutan itu seminggu sebelum diminta hadir ke mahkamah selepas menerima surat daripada peguam.Roslan melafazkan cerai di hadapan Hakim Mahkamah, Wan Abdul Malik Wan Sidek.Sebelum melafazkan cerai, dia memberitahu mahkamah seakan tidak percaya dengan tindakan kedua-dua isterinya kerana menganggap dipermainkan sempena sambutan ‘April Fool’.Wan Abdul Malik ketika mendengar lafaz berkenaan berkata, kes perceraian itu mencatat sejarah mahkamah kerana beliau sendiri tidak pernah mendengar ada suami menceraikan dua isteri serentak pada hari yang sama.Beliau mengarahkan defendan melafazkan cerai dengan talak satu secara berasingan untuk direkodkan.“Kita (mahkamah) rasa dulu ketika berkahwin saudara (Roslan) tidak mengangkat nikah serentak, tetapi melakukannya satu demi satu, jadi pastinya lafaz cerai itu juga harus dibuat satu persatu.“Kita setuju membenarkan permohonan plaintif menukar daripada permohonan fasakh kepada permohonan perceraian biasa mengikut Seksyen 44 (Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Terengganu 2001) kerana semua pihak menyatakan persetujuan.“Plaintif dan defendan masing-masing perlu menyerahkan semua dokumen asal perkahwinan kepada mahkamah untuk dibatalkan,” katanya.Wan Abdul Malik berkata, perceraian dengan talak satu itu bermula semalam dan dalam tempoh edah tiga kali suci daripada haid, defendan perlu memberi nafkah serta tempat tinggal kepada kedua-dua plaintif sepanjang tempoh itu.Katanya, semua tuntutan pembahagian harta sepencarian dan hak penjagaan anak boleh difailkan secara berasingan kemudian.Terdahulu, Roslan yang tidak diwakili peguam meminta mahkamah membenarkan perbicaraan tuntutan fasakh yang difailkan kedua-dua isterinya dijalankan serentak dan meminta mahkamah membenarkan tuntutan itu ditukar kepada permohonan perceraian.Katanya, tindakan itu diambil bagi menjimatkan masa dan memudahkan semua pihak tanpa perlu berulang-alik ke mahkamah bagi perbicaraan tuntutan fasakh.Wan Abdul Malik yang membenarkan permohonan itu mengarahkan kedua-dua plaintif dari Jalan Pasir Panjang di sini, memfailkan permohonan cerai, semalam. Mastura yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, diwakili peguam, Salwah Mansor manakala Norhayati, seorang suri rumah diwakili peguam daripada Majlis Peguam Malaysia.Dalam tuntutan fasakh, Mastura yang berkahwin dengan Roslan pada 1995 dan mempunyai dua anak berusia enam dan 10 tahun mendakwa defendan tidak memberi nafkah zahir lebih enam bulan, tiada lagi persefahaman dengannya, tidak bertanggungjawab sebagai ketua keluarga serta gagal menunaikan tuntutan syarak iaitu solat dan puasa.Norhayati yang tinggal di rumah bersebelahan dengan madunya dan mempunyai empat anak berusia antara sembilan dan 22 tahun dalam tuntutannya mendakwa defendan sudah 11 bulan tidak balik ke rumah, tidak memberi nafkah, tidak menunaikan tuntutan syarak dan sudah tidak persefahaman.Mastura yang berpakaian hitam bersama madunya yang berpakaian merah jambu tersenyum ketika meninggalkan pekarangan mahkamah dengan berkongsi kereta.Mereka enggan ditemui wartawan.
My Comment:
Aku rasa rentetan kisah rumahtangga yang berlaku ini sangat menarik. Mungkin boleh dijadikan ikhtibar oleh lelaki dan wanita di luar sana. Pergelutan perasaan biasanya meninggalkan kesan yang lebih mendalam dan parutnya mengambil masa yang lama untuk dihilangkan. Bukan mudah bagi lelaki akhir zaman untuk menerajui bahtera dengan dua pendayung jika ilmu tidak cukup di dada, apatah lagi jika berangan-angan untuk menambah pendayung hanya dengan alasan menambahkan kelajuan. Kalau hanya kerana ingin mendabik dada dan mengatakan akulah "lelaki Melayu terakhir", mungkin beliau terlupa apa makna " lelaki Islam terakhir"...
No comments:
Post a Comment