Entri ini dikutip dalam kantung emel aku! Menarik untuk diamati sekaligus mungkin untuk di fikir-fikirkan oleh mereka yang berkenaan...Aku tidak berpihak di mana-mana, sekadar menambah perencah untuk melazatkan minda yang sedap berfikir mengapa begitu ya?!
Assalamualaikum Warahmatullahi Ta’ala Wabarakatuh. ..
Segala puji-pujian ke hadrat Allah subhanahu wata’ala, kepada-Nya kita menyembah. Salam serta selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.
Entry ini saya masukkan selepas saya membacanya artikel bertajuk Lelaki Melayu 'Layu'? di egrup yang saya sertai dan bila saya cari penulis asal, saya dapati artikel dipetik dari blog MazidulAkmal.... promote sikit blog abang Mazidul, hero SlimRiver... :)
Secara peribadi, saya sangat setuju, lelaki Melayu banyak kekurangannya. Antara yang boleh disenaraikan di sini :
- kurang bertanggungjawab (tidak memenuhi nafkah zahir dan batin)
- kurang pengetahuan ilmu dunia dan akhirat (adeh… macamana nak jadi pemimpin nih?!)
- kurang romatik atau gentleman
- tidak bersifat penyayang
- tidak sabar
- kurang pandai melayan/mengambil hati/memujuk pasangan
- berlagak pandai (walhal bodoh dan sombong pulak tu)
- lebih pandai mengambil kesempatan (take things for granted)
- amat sukar meluahkan perasaan kasih (especially pada isteri, tetapi tidak pada temanita/matair)
- kurang berpegang teguh pada kata-katanya (cakap tak serupa bikin)
- lebih suka mungkir janji (ciri-ciri munafik ni weh!)
- gemar berbohong/ngelat/ tipu (ciri-ciri munafik juga)
- kurang memberi sokongan pada pasangan
- kurang pendengaran/ pemahaman (masuk telinga kiri keluar telinga kanan)
- kurang prihatin
- lebih cemburu
- lebih EGO
- panas baran atau tidak mampu menahan marah
- cepat kalut
- cerewet
- tidak jujur
- berat ‘pungkok’ a.k.a. takut reput tulang
- tidak mempunyai matlamat/fokus hidup
- lebih suka membuang masa melepak
- lebih suka buang duit beli rokok, aksesori kereta/motor dan lain-lain
- tidak kreatif atau bermasalah dalam komunikasi seperti suka berahsia, sukar berkongsi masalah atau sukar dibawa berbincang
- tidak tahu menabung atau tiada perancangan kewangan yang kukuh (parah nih!)
Waaahhh… jika lihat senarai, banyak betul kekurangan lelaki Melayu ini, ya! Maka, memang wajarlah kenyataan lelaki Melayu ini, ‘layu’. Hik.. hik.. No hard feeling kepada pembaca lelaki, khususnya lelaki Melayu. Bukan saya yang memulakan subjek ini. Jika ada dalam senarai di atas yang terkena batang hidung sendiri, ambil iktibar dan betulkan sikap kalian. Akuilah hakikat bahawa tiada manusia yang sempurna, tetapi ini tidak bermakna kalian mempunyai tiket unutk terus kenal dalam ketidak-sempurnaan. Ambillah peluang perbetulkan diri, jadikan ia pemangkin bagi kalian mencari titik kesempurnaan semaksimum mungkin. Usahakanlah menaikkan saham lelaki Melayu. Bukankah lelaki Melayu pantang dicabar? Anggaplah check list di atas satu cabaran untuk kalian meng‘up-grade’kan kualiti diri dan berubah menjadi seorang individu yang lebih dihormati.
Nampak sangat seolah-olah saya ni berat sebelah, tapi jangan salah faham. Sebenarnya, setiap individu ditetapkan oleh kebiasaan mereka yang unik dan tidak boleh dipencilkan secara khusus atau dipisah-pisahkan mengikut bangsa atau kewarga-negaraan. Jika sudah perangai seperti syaitan, tidak kira Melayu atau apa bangsa pun, macam itulah perangainya. Jika kita terlalu fokus pada senarai yang negatif tentang lelaki Melayu, tentu kita boleh pandang sebelah mata atau buat-buat tak nampak senarai yang positif tentang mereka pula. Tak bolehlah begitu, kan? Memang tidak kurang hebatnya kaum lelaki berbangsa Melayu, dan kehebatannya terpulang kepada individu yang benar-benar mahu memahami dan mencari kehebatan lelaki Melayu.
Saya amat bersimpati terhadap sebilangan wanita yang memandang rendah terhadap kaum lelaki Melayu sehingga memilih jejaka berbangsa asing sebagai pasangan hidup. Malah, ada yang mencebik, “Aaah, lelaki Melayu, apa yang ada pada mereka?” Amat menyedihkan, apabila wanita Melayu itu akhirnya hampa dengan lelaki asing yang disangkakan lebih baik daripada lelaki Melayu. Namun, amatlah tidak adil jika kita membuat kesimpulan hanya wanita-wanita ini perlu disalahkan kerana tersalah buat pilihan, tetapi kaum lelaki umumnya, tidak kira apa bangsanya, sepatutnya turut dipersalahkan. Masih ramai yang mengahwini lelaki asing dan hidup bahagia, tidak kurang juga yang bernikah dengan lelaki Melayu menemui neraka dunia.
Mengapa masyarakat, khususnya Melayu begitu mudah menunding jari ke arah kaum wanita sahaja apabila terdapat permasalahan dalam rumahtangga? Jika pasangan lelaki tidak melaksanakan tanggungjawab, gagal pula melindungi keluarga dan tidak dapat memberikan kebahagiaan, selalunya si isteri juga yang dipersalahkan kerana dikatakan “dia sendiri yang telah membuat pilihan itu”. Bukankah ini satu sikap negatif dan tidak akan mengubah atau membaiki keadaan sesiapa pun?
Seharusnya, lelaki Melayu (dalam perlembagaan negara, Melayu itu Islam) sebagai ketua keluarga yang mempunyai kedudukan lebih mulia dan tinggi daripada wanita, sepatutnya kaum lelaki lebih peka dalam hal-hal yang membimbing isteri (dan anak-anak) ke arah kebahagiaan. Ini amat jelas dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin (pelindung) bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.” (Surah an-Nisaa’, ayat 34). Perhatikan perkataan yang sengaja saya ‘bold’kan.
Persoalan penting yang patut difokuskan dalam artikel asal ialah, apakah ciri-ciri yang ada pada lelaki Melayu yang seharusnya dijadikan idaman setiap wanita Melayu? Saya percaya, setiap lelaki mengimpikan untuk menjadi suami idaman bagi seorang isteri. Namun, untuk menjadi suami idaman bukanlah semudah yang disangkakan. Seorang suami perlu memenuhi beberapa kriteria untuk melayakkan dia menyandang status suami idaman. Senarai di bawah bukan khusus untuk suami sahaja, malah isteri juga boleh cuba terapkan dalam kehidupan seharian. Boleh juga dibuat panduan untuk mengingatkan pasangan yang tidak berkesempatan membaca entry ini.
Berikut disenaraikan beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan. :
- Patuhi semua hak Allah SWT, berusahalah mentaati segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
- Bersyukur terhadap segala nikmat kurniaan Allah.
- Melakukan solat berjemaah di masjid/surau atau bersama keluarga.
- Bersedekah kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan.
- Menepati setiap janji yang dibuat.
- Berusaha menambah ilmu yang ada dan mewujudkan suasana belajar di dalam rumah.
- Sentiasa memainkan peranan sebagai suami – ketua keluarga, sahabat, penasihat, kekasih, pendengar, pendidik.
- Memanggil isteri dengan panggilan manja yang disukainya.
- Memberi hadiah pada hari-hari istimewa buat isteri.
- Memahami karenah isteri dan banyak bersabar.
- Memahami kehendak dan pengharapan isteri tanpa perlu disebut-sebut oleh isteri (lu pikirlah sendiri...)
- Bergurau senda dengan isteri.
- Sentiasa berhubung dengan isteri tanpa mengira tempat dan masa.
- Mendidik isteri secara berhikmah dan penuh kasih sayang.
- Memaafkan isteri dan orang lain setiap malam sebelum tidur.
- Mendoakan isteri setiap masa.
- Melakukan kerja-kerja rumahtangga bagi membantu meringankan beban isteri, tetapi tidak menjadi suami yang di‘queen-controlled’.
- Memandang isteri dengan lemah lembut, senyuman dan kata-kata yang manis.
- Sentiasa mengamalkan makan bersama isteri apabila ada kesempatan.
- Melakukan riadah bersama isteri dan sekali-sekala mandi bersama.
- Sentiasa memberi kata-kata positif sebagai perangsang kepada isteri
- Menjauhi perbuatan bertegang leher dengan isteri, sebaliknya mengalahlah bagi perkara yang harus.
- Menjadikan al-Quransebagai teman dan mengajak isteri untuk bersama-sama membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran
- Segala masalah yang brelaku dalam rumahtangga diselesaikan secara bersama.
- Mengadu kepada Allah dalam menghadapi masalah, ketakutan dan kesakitan.
- Sentiasa mengamalkan solat sunat Dhuha.
- Menjauhi perasaan buruk sangka terhadap isteri kerana sangkaan itu satu doa.
- Bersangka baik dengan semua ketentuan Tuhan.
- Bergaul dengan orang yang baik-baik dan berilmu.
- Sentiasa melakukan taubat, istighfar, bersedekah, meminta maaf dan memaafkan orang lain.
- Mengawal diri daripada melakukan sebarang dosa. Dosa kecil yang diulang-ulang (berterusan melakukannya) akan manjadi dosa besar. Segera bertaubat apabila melakukan dosa.
- Tidak membenarkan kemungkaran berlaku dalam rumahtangga.
Malangnya, hari ini kita dapat lihat, kebanyakkan lelaki Melayu muslim menganggap posisi mereka sebagai satu tuntutan hak, bersikap terlalu ego dan pantang pula ditegur. Kaum lelaki Melayu muslim hendaklah lebih peka dengan sunnah junjungan kita, Rasulullah SAW yang amat lemah-lembut dan lebih romantis. Sebaliknya lelaki asing lebih mendahului dan menerapkan sifat lemah lembut dan romantis Rasulullah SAW dalam melayan pasangan mereka dan inilah yang menarik perhatian wanita Melayu mendampingi mereka. Jika lelaki Melayu muslim benar-benar beriman dan mahu mengikut jejak Rasulullah, sudah pasti wanita Melayu tergila-gilakan lelaki Melayu juga dan sudah tentulah rumahtangga aman bahagia, dapat mengecap kebahagiaan dunia dan akhirat, insya Allah!
No comments:
Post a Comment