Ini bukan kali pertama aku di asak dengan soalan yang sama..kenapa hantar anak-anak ke sekolah cina?
Hmm...nak pendek kan cerita, aku cari shortcut!
Bermula dari anak pertama, Anisa!
Dia dikesan mengidap disleksia pada usia 4 tahun apabila dia masih tidak dapat mengenal huruf yang ditunjukkan dan peningkatan kognitif agak lambat berbanding dari adik-adiknya yang lain. Semasa aku belajar di UPM, prof Shameem banyak membuka minda aku agar explore tentang sistem persekolahan di Malaysia. Semasa itu Anisa baru dua tahun lebih..dan aku pula sarat mengandung dengan anak kedua. Mulalah aku merancang ke mana nak ditempatkan anak-anak bila mereka mula bersekolah!
Dan aku pun mula explore...dan aku banyak bersandar pada pengalaman sebagai guru sekolah rendah sebelum ke UPM. Walaupun singkat tetapi cukup aku memahami perbezaan antara SRK dan SJKC.
Kelebihan di SRJKC ialah komitmen pada pembangunan kognitif pelajar. Sistemnya yang menitik beratkan disiplin dalam pembelajaran membuktikan ramai pelajar Cina yang berjaya dalam pelajaran dan juga kehidupan mereka.
Apabila Anisa dikesan dengan disleksia, aku terpaksa menerima hakikat bahawa ia akan meninggalkan kesan sampingan iaitu dia juga tergolong dalam 'slow learner', lambat memahami apa yang dipelajari. Aku masih berkira-kira sama ada untuk ke SRJKC atau SRK. Akhirnya melalui pembacaan dan mengutip pengalaman guru-guru yang mengajar di SRJKC dan SRK aku membuat keputusan untuk menghantarnya ke SRJKC walaupun pada awalnya mendapat tentangan kerana kerisauan tentang pendidikan agama. (Pelajar beragama Islam mendapat perhatian khusus dari guru agama sebab tidak ramai!)
Memang pada peringkat awal, dia berhadapan dengan masalah bahasa, makanan dan pembelajaran. Laluan itu memang sangat sukar buatnya walaupun dia dihantar ke Tadika Cina (satu kewajipan sebelum ke SRJKC). Beberapa kali aku menitis air mata melihat dia menangis akibat tidak memahami apa yang diajar oleh guru-gurunya. Kemudian aku dipanggil oleh guru kelasnya semasa dia di Darjah Satu, aku dinasihati agar menukarkan Anisa ke SRK kerana setelah 6 bulan Anisa masih belum boleh menguasai Bahasa Mandarin. Lalu dijelaskan kepada gurunya bahawa Anisa ada disleksia dan dia slow learner. Adush!! gurunya tidak pernah mendengar apa itu disleksia...tetapi komitmen guru itu membuahkan hasil apabila dalam tempoh 3 bulan seterusnya Anisa sudah mampu membaca perkataan mudah dan mula memahami Bahasa Mandarin.
Anisa berjaya membaca dengan lancar ketika dia di Darjah Empat (Aku mencabarnya dengan hadiah vcd High School Musical jika dia berjaya dalam Bahasa Melayu, masa tu aku tinggalkan dia selama 6 bulan apabila berkursus) Satu kelegaan buatku! Biarlah dia lambat tetapi dia berjaya. Satu perkara yang aku sentiasa bangga dengannya ialah dalam kelemahannya itu, akhirnya dia berjaya menguasai Bahasa Mandarin dengan fasih dan mampu bertutur dengan lancar.
Di situ, aku sangat menghargai komitmen guru-guru di SRJKC terhadap anakku yang sorang ni.
Sebenarnya tidak ada yang kurang dengan SRK tetapi aku menerima nasihat dari seorang guru besar semasa di UPM, katanya disleksia adalah berkaitan dengan abjad rumi (a,b,c,d) tetapi tidak dalam perkataan yang berasaskan karektor seperti Jawi atau Bahasa Mandarin.
Dari situ aku membuat keputusan untuk meletakkan Anisa di SRJKC. Alhamdulillah dia kini sudah hampir menamatkan Al-Quran dan berjaya menguasai Bahasa Mandarin. Walaupun pencapaiannya tidak sehebat adik-adiknya yang lain yang juga bersekolah Cina tetapi bagi aku itu adalah satu kejayaan yang cemerlang!
Bukan mudah untuk mendidik anak-anak yang slow learner sebab pemahaman mereka bukan seperti kanak-kanak normal. Mereka memang tidak mampu membuat penaakulan dan tidak dapat memahami apa yang tersirat dari yang tersurat. Malahan mereka cepat marah sebab kecewa tidak dapat melakukan apa yang mampu dilakukan oleh kanak-kanak lain sebab mereka mempunyai darah gemuruh yang sangat tinggi. Selalunya mereka adalah sangat pendiam dan sangat bangga dengan pencapaian mereka walaupun sekecil manapun. Namun begitu mereka juga sangat pelupa. Selalu tidak dapat mengingati apa yang dipelajari atau di mana mereka meletak barang-barang mereka. Cuma satu yang aku tak dapat nak marah ialah dia tidak pernah minta benda-benda, kalau adik-adiknya sibuk nak itu dan ini, dia tidak!
Satu keadaan yang pasti ialah kena banyak sabar (dan aku kadang-kadang gagal sebab seringkali terbandingkan dia dengan adik-adiknya). Adusshh!
Dan sekarang projek terbaru aku dengan dia ialah membetulkan kembali teknik penulisannya. Walaupun diberikan perhatian dari kecil tetapi memang tulisannya tidak aa peningkatan. Aku berharap menggunakan alasan perubahan sekolah rendah ke menengah akan membuatnya memberi perhatian lebih kepada penulisannya. So belajarlah dia menulis dengan adiknya yang berumur 4 tahun! Bukan apa, penatlah bila kita sebagai guru bila membaca karya pelajar dengan tulisan yang buruk. Mungkin kelas teknik penulisan perlu diperkenalkan kembali di tahap awal persekolahan dan diberikan penekanan yang serius!
Projek keduanya akan bermula pada 22 November (hadiah hari jadinya yang ke 12..spesel sikit sebab dah besar!!) dah dibincang dan memang nampak keterujaannya..Aku sendiri pun tak sabar...heheheeh...!
No comments:
Post a Comment