Monday, November 19, 2007

Banyak Persamaan Lebih Serasi

MEMILIH pasangan hidup adalah antara keputusan yang penting dalam menentukan hala tuju masa depan. Selepas hidup berdua, barulah kita tahu sama ada pasangan kita mampu membuat hidup bahagia atau sebaliknya.

Setiap pasangan mengidamkan kebahagiaan. Anggapan perkahwinan bagaikan satu perjudian ada kalanya meletakkan individu dalam persimpangan, sama ada meneruskan kehidupan berdua atau memberi titik noktah.

Namun, manusia tidak pernah serik untuk mencari keserasian. Bijak pandai ada berkata, perkahwinan adalah proses menyatukan dua hati berbeza dalam mencari keserasian untuk kehidupan indah berdua.

Jika gagal dalam melayari bahtera berdua, ia bukan bermakna gagal selamanya. Jodoh dan ketentuan memang di tangan Tuhan, namun menjadi tanggungjawab manusia untuk berusaha mencari yang terbaik.

Tidak kenal putus asa dalam mencari pasangan yang menepati ciri peribadi mulia menjadi impian setiap kita. Untuk itu, hapuskan perkataan putus asa dalam kamus diri supaya pencarian yang terbaik akan menemui hasilnya.

Petua mencari pasangan serasi:

- Orang mudah tertawan pada bakal pasangan yang mempunyai persamaan seperti politik, keagamaan serta sikap terhadap harta, wang dan hobi.

- Mempunyai satu atau dua persamaan yang mendalam seperti suka kucing, melancong atau ramai anak.

- Tindakan serentak akan menarik bakal pasangan terhadap anda. Contohnya, serentak berpaling, angkat gelas atau berdiri.

- Tawan hati bakal pasangan dengan mempamerkan emosi yang sama terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa, seperti sama-sama gembira, sedih, terperanjat, benci atau simpati.

- Dua insan mudah serasi jika mempunyai penafsiran yang sama mengenai hubungan seperti tahap keakraban, kebebasan, kebergantungan, pemberian atau pengorbanan.

- Kenal pasti ciri yang disukai bakal pasangan. Bentuk ciri yang disukai ini dalam diri dan pamerkan padanya.

- Semua orang mencari cinta sejati tanpa syarat. Bakal pasangan akan tertarik jika anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta, keturunan atau glamor.

- Pasangan akan tertawan jika anda dapat bantu mengukuhkan imej diri, rangsang semangat dan pupuk keyakinan dirinya.

- Keikhlasan amat penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus menjauhkan diri.

- Pujian berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding pujian daripada kawan lama.

- Ulang sebut perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal pasangan. Ini menyebabkan dia rasa istimewa dan dihargai.

- Kenal pasti keistimewaan bakal pasangan yang orang lain tidak nampak. Sampaikan kehebatan ini dengan bersemangat dan dia akan mudah tertawan kepada anda.

- Untuk bakal pasangan yang popular dan sering dipuji, cari pujian yang asli untuk menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat dialu-alukan dan dihargai.

- Beri penghargaan serta-merta kepada setiap pencapaian bakal pasangan. Ini membelai dan melembutkan hatinya terhadap anda.

- Jika bakal pasangan memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan terima kasih serta bersyukur. Dia akan rasa dihargai.

- Cari keunikan, kelucuan atau ‘kegilaan’ bakal pasangan. Nyatakan anda suka kepadanya kerana keunikan itu dan ini akan membuatkan dia rasa istimewa.

- Ramai pasangan sengsara bila isteri terlalu cantik atau suami terlalu tampan. Justeru, cari bakal pasangan yang sepadan dengan diri.

- Orang yang berasa dirinya bodoh sukar mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan tinggi menyerlahkan kecantikan.

- Wanita mudah tertawan pada lelaki yang budiman seperti bersopan santun, suka membantu, menghormati wanita, berani dan yakin diri.

- Untuk jadi lebih menawan, berterusan belajar selain perbaiki perangai, peribadi dan kemahiran komunikasi. Di samping itu, murnikan hati, pemaaf dan sentiasa bersangka baik.

- Lelaki harus mempamerkan sifat kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinya seperti lebih prihatin, memahami emosi dan bertimbang rasa.

- Perempuan harus mempamerkan sifat kewanitaan di samping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam politik, sukan, memancing dan aktiviti kelelakian yang lain. Bertindak bijak tetapi ‘jangan terlalu bijak’.

- Untuk menambat hati wanita, kerap bertanya mengenai perasaannya, aktiviti, kegemaran, kebencian atau sebarang perkara berkaitan emosi.

- Sebelum benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri daripada bertanya bakal pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu perkara, peristiwa atau situasi.

- Orang lelaki amat pantang apabila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau kebodohan lelaki. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.

- Orang perempuan mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah, meminta maaf, meminta bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar, bersabar dan lemah lembut terhadap wanita.

- Apabila bercakap dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan secara ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur perasaan akan membunuh minat lelaki.

- Jika orang perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya punca dia marah, dengar dengan teliti dan jangan komen atau cuba beri nasihat. Orang perempuan mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif pada perasaannya.

- Jika lelaki marah, jangan sibuk hendak tanya punca kemarahannya. Pamerkan kasih sayang dan bentuk suasana tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya sendiri.

- Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara terus-terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara berlapik, terperinci dan banyak tersirat.

No comments: