Thursday, October 9, 2008

Birthday Boy

Hari ni Ahmad Danish Sufi dilahirkan 3 tahun lepas. Mengenangkan bagaimana dia dilahirkan memang sayu...Alhamdulillah setakat ini, sikap dan pembawaan dirinya seiring nama "Sufi".
Banyak komplikasi yang aku hadapi semasa 9 bulan membawanya ke mana sahaja. Malahan dialah satu-satunya anak yang memang dirancang secara teliti kelahirannya. Sebelum dia, aku mengalami keguguran akibat terlalu banyak bergerak juga tidak tahu kondisi aku yang sedang berbadan dua. Rupa-rupanya keguguran itu disebabkan oleh beberapa ketulan air dalam uterus. Selama 6 bulan selepas keguguran aku seringkali berulang ke klinik untuk monitor keadaan. Akhirnya doktor menasihati agar cuba mengandung sekali lagi. Namun ketika itu aku agak berbelah bagi memandang usia yang semakin meningkat dan tugasan yang semakin bertambah. Dan sempat lagi aku letakkan syarat agar kalau aku mengandung, pastikan ia adalah lelaki! Maka doktor memberi garis panduan pemakanan yang perlu aku ubahsuai dan tokok tambah. Akhirnya aku mengandung genap 6 bulan selepas keguguran tempohari. Dan selepas 4 bulan kandungan, disahkan ianya lelaki...cuma masalah yang aku hadapi ialah anemia yang kritikal kerana sel darah merah tidak pernah melebihi 6 (paras normal ialah 10 ke atas). Ini menyebabkan aku tidak dapat lasak kerana risiko untuk gugur sangat tinggi. Beberapa kali aku ke wad bersalin selepas 6 bulan kandungan kerana false alarm! Aku dimasukkan ke wad selepas kelewatan lebih 4 hari dari tarikh jangkaan. Hari aku discharge, aku terus balik ke Taiping (hari pertama berpuasa). Esok subuhnya aku bersalin dengan tidak ada apa-apa persediaan untuk orang baru sebab beg tertinggal di Ipoh (memikirkan selepas sahur akan balik ke Ipoh). Bila orang baru keluar, hanya berbalut dengan sehelai kain tuala ehsan seorang jururawat. Rasanya begitulah keadaan Sufi sehingga lewat pukul 3 petang! Semuanya keperluan (diaper, wet tissue, baju) adalah ehsan katil sekeliling...
Dan ketika itu, wad kelas pertama penuh menyebabkan aku terpaksa berhimpit dicelah-celah katil di wad kelas tiga (sedih rasanya) dan itu banyak menyedarkan aku agar bersyukur sebab aku masih dapat melihat matahari pagi bersinar terik...
Sehingga ke hari ini, Sufi memang penyelamat dan banyak menyedarkan aku dari kealpaan tentang siapa diri aku sebenarnya.
Setiap yang berlaku ada hikmahnya! Dan pasti ada sebab musababnya...cuma kita selalu melihat pada apa yang kita tidak dapat dariNya, bukan pada pemberian yang telah kita terima.

No comments: