Minda: Salahkan diri sendiri
Oleh Yusri Abdul Malek
KEJADIAN terbaru seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun menendang perut seorang guru wanita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis, minggu lalu adalah kejadian melampau yang tidak boleh dimaafkan dan perlu diberi hukuman berat sebagai pengajaran kepada pelajar di negara ini.Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, guru terbabit, Azahana Ibrahim, 27, menegur seorang pelajar perempuannya berhubung kelewatan menghantar tugasan dibalas dengan kata-kata kesat ‘gila babi’ yang diconteng pada kerja kursus yang dihantar.Tidak cukup dengan insiden di dalam kelas, pelajar perempuan itu yang dikatakan belum berpuas hati dengan teguran guru berkenaan memanggil beberapa lagi rakannya dari kelas lain untuk membalas dendam.Mereka kemudian ‘menyerang’ dan membuat kacau di kelas Azahana sedang mengajar, sehingga guru itu lari menyelamatkan diri ke bilik guru.
Amat malang apabila sekolah yang mempunyai 1,600 pelajar dan 108 guru itu sekali lagi menjadi tumpuan apabila berlaku pergaduhan pelajar yang tercetus akibat kejadian menendang basikal di kawasan sekolah.
Sudah pasti ekoran kejadian itu, pengetua sekolah itu menjadi orang paling sibuk kerana terpaksa menyiapkan laporan ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan pejabat Menteri Pelajaran, selain berdepan cemuhan rakan dari sekolah lain yang menempelak atas apa yang berlaku.Mungkin sudah nasib sekolah itu apabila kejadian yang tidak disangka-sangka itu menjadikan sekolah berkenaan popular sebagai sekolah yang mencetuskan kejadian memalukan dan bukan sekolah yang cemerlang dalam akademik.Berikutan insiden itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang marah dengan kejadian itu bertegas untuk tidak akan berkompromi atau berlembut dengan pelajar yang biadab terhadap guru.Beliau berkata, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka.Hishammuddin berkata, Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail akan mengambil tindakan sewajarnya.Bagaimanapun dalam menangani masalah disiplin pelajar, Kementerian Pelajaran tetap dengan keputusan untuk tidak membenarkan merotan pelajar yang menghadapi masalah disiplin di depan khalayak, selepas mengambil kira kesan hukuman itu yang boleh mencetuskan gejala tidak baik terhadap pelajar.Pendirian itu terkandung dalam Surat Pekeliling Iktisas Bil 7/2003: Kuasa guru merotan murid iaitu hukuman jenis ini dilarang kerana boleh menjatuhkan maruah serta menimbulkan kesan negatif yang lebih besar terhadap perkembangan keperibadian seseorang murid.Setakat ini, pelajar perempuan terbabit dikenakan tindakan gantung sekolah selama seminggu sementara menunggu siasatan dan laporan kejadian itu disiapkan. Mungkin pelajar itu akan dibuang sekolah dan hukuman itu dilihat paling layak untuknya kerana terlalu biadab dengan guru.Perbuatan pelajar itu tidak sepatutnya dianggap kes terpencil kerana sekali kita menganggap demikian, ia akan terus muncul pada masa depan.Seharusnya hukuman berat perlu dikenakan dalam mengekang masalah disiplin di kalangan pelajar yang semakin meruncing. Mendisiplinkan pelajar bukan tugas hakiki guru di sekolah. Sebaliknya ia tugas ibu bapa kerana masa pelajar sebenarnya banyak di rumah berbanding di sekolah. Malangnya, dalam kesibukan tugas seharian terutama selepas kos hidup yang tinggi terutama di bandar besar, ibu bapa mengabaikan tanggungjawab itu dan meletakkan peranan mendisiplinkan anak kepada guru di sekolah.Bayangkan dengan beban tugas dan suasana persekitaran sekolah tidak kondusif untuk pembelajaran, guru mudah berasa tertekan. Tambahan pula jika ada pelajar yang sengaja melanggar disiplin atau culas membuat kerja yang diarahkan. Akibatnya, pelajar akan dihukum atau dibiarkan begitu sahaja tanpa dipedulikan.Seorang guru yang berpengalaman hampir 25 tahun dalam bidang perguruan dan 16 tahun menjadi warden asrama berkata, masalah disiplin pelajar berlaku di mana-mana sekolah di negara ini dan menunggu masa untuk ‘meletup’.“Saya katakan demikian dengan mengambil contoh kes pelajar tendang guru di SMK Perlis. Masalah disiplin mungkin meruncing di sekolah itu berdasarkan jumlah pelajarnya yang ramai tetapi ia berjaya dibendung sehinggalah kes itu terjadi dan menarik perhatian semua pihak. Beberapa hari kemudian berlaku pula kejadian pergaduhan pelajar.“Apabila ia berlaku, ia akan berlaku lagi secara berurutan. Selepas ini, sekolah mana pula akan menjadi tajuk utama berita dalam media massa,” katanya.Menurutnya, pelajar yang dihantar ke sekolah oleh ibu bapa sekarang bukan seperti pelajar pada tahun 1960-an atau 1970-an yang dianggap memiliki disiplin tinggi dan menghormati guru.“Tetapi kini, guru tidak dihormati lagi tambahan pula jika ibu bapa yang menghantar anak itu berkedudukan tinggi. Ini perlu diakui sebab jika ada kes disiplin membabitkan anak orang berkedudukan, pihak sekolah terpaksa mendiamkan kes mereka kerana jika bertindak, ibu bapa itu akan bertindak balas sama ada menyaman atau menukarkan guru itu ke tempat lain.“Kejadian ini berlaku menyebabkan guru mengambil pendekatan ‘biarkan saja’ buat kerja macam biasa, nak pandai pandai, tak nak pandai bukan anak aku. Jika sikap ini ada dalam diri setiap guru, pasti akan merugikan pelajar itu sendiri,” katanya.Beliau yang bertugas sebagai guru kanan berkata, masalah disiplin pelajar pada masa kini semakin serius sekalipun pelbagai pendekatan diambil untuk mengatasinya.“Jika dikatakan tiada hukuman rotan di sekolah, itu tidak benar, guru besar atau pengetua atau guru yang diberi kuasa boleh merotan pelajar yang melanggar disiplin tetapi perlu mematuhi peraturan,” katanya.Dalam hal disiplin, katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dan bukan mengharapkan sekolah dan guru semata-mata.“Guru sudah dibebankan dengan banyak kerja yang bukan tugas hakiki mereka. Ada guru terpaksa jadi kerani kerana ada kerani sekolah yang tidak tahu buat kerja terutama berkaitan masalah gaji tertunggak atau kenaikan pangkat.“Tambahan pula, kini lebih ramai guru wanita berbanding lelaki menyebabkan pelajar tidak gerun lagi kepada guru. Kementerian Pelajaran perlu memperbanyakkan pengambilan guru lelaki bagi mengimbangi keperluan mengawal disiplin pelajar di sekolah,” katanya.Hakikatnya, masalah disiplin bermula dari rumah. Jika ibu bapa sentiasa bersikap mengambil berat, anak mereka akan menjadi orang yang boleh diharapkan pada masa depan.Ibu bapa hendaklah menghentikan tuduhan, sebaliknya memastikan anak mereka tidak terbabit dalam salah laku disiplin.Kita yakin, jika ibu bapa mampu mendisiplinkan anak di rumah, pasti pelajar akan berdisiplin di sekolah atau di luar rumah. Jika anak tidak berdisiplin, jangan salahkan sesiapa tetapi salahkan diri sendiri kerana gagal mendidik mereka.Bagi sekolah pula, hak merotan perlu diberikan kepada semua guru bagi memastikan disiplin sekolah kembali terpelihara. Kaedah merotan perlu dipatuhi guru bagi mengelak kecederaan murid atau pelajar.
I am a mother of 4 kids.
And these 4 kids might not turn out to be as what I expected.
Whose fault is it?
Should I blame everybody else?
What about blaming myself?
I am a teacher of 240 students
And these students might not out to be as what I expected.
Whose fault is it?
Should I blame everybody else?
What about blaming myself
I guess, instead of changing everthing around me, I better start with myself...
No comments:
Post a Comment