Aset yang paling besar dalam sebuah negara ialah putera dan puterinya atau pemuda-pemudinya. Ini kerana mereka adalah pelapis-pelapis atau pengganti generasi yang sedia ada. Masa depan sesuatu bangsa itu bergantung kepada mereka. Baik mereka, akan baiklah bangsa itu. Manakala jika mereka rosak, akan rosaklah bangsa itu.
Kerana itulah jika seseorang pemimpin itu baik, bertaqwa dan bertanggungjawab terhadap Tuhan, agama dan bangsanya, dia akan menitikberatkan soal perkembangan pemuda-pemudi yang sedang membesar itu. Dia akan menganggap mereka adalah suatu aset yang penting. Andai tersilap dalam menjaganya, akibatnya akan punah dan rosaklah satu bangsa. Kesan negatif itu setidak-tidaknya akan berlanjutan untuk 100 tahun yang akan datang.Sebaliknya kalau pemimpin itu jahat, tidak bertaqwa, tidak takut Tuhan, tidak bertanggungjawab terhadap Tuhan, agama dan bangsanya, dia akan mengambil kesempatan ke atas aset penting ini untuk kepentingan peribadinya. Dia akan merancang satu sistem pendidikan yang membuatkan pemuda-pemudi itu rosak. Ini supaya apabila mereka rosak, hasilnya mereka tidak akan berfikiran panjang dan mudah diperalatkan untuk membuat kerja-kerja demi kepentingan peribadi pemimpin itu.
Memang terdapat pemimpin yang sanggup berbuat demikian demi kepentingan peribadinya. Pemuda dan pemudi yang telah rosak itu adalah ladangnya. Di situlah sumber kekayaan dan kesenangannya. Cuma hal ini tidak dapat dikesan kerana kerosakan itu sudah meluas di kalangan kebanyakan orang di waktu ini.Maka terkorbanlah agama dan bangsa selama beratus tahun. Sejak empayar Islam jatuh 700 tahun yang lalu, hingga kini masih belum ada bangsa atau negara Islam yang maju dan disegani kawan dan lawan. Umat Islam kini terhina di mana-mana bahkan di tanah air mereka sendiri. Mereka tidak dapat melepaskan diri dari menumpang musuh-musuh mereka sama ada dalam soal kehidupan, ilmu, ekonomi, teknologi dan lain-lain lagi. Begitulah keadaan umat Islam dan sehingga hari ini keadaan itu masih belum pulih lagi.
Sebab itu pemimpin yang takutkan Tuhan dan bertaqwa kepada Allah, dia sangat menjaga aset ini walaupun dia terpaksa berkorban, tiada masa rehat bahkan sentiasa memimpin ketika sakit sekalipun. Pemuda-pemudi adalah pelapis pemimpin dan generasi yang sedia ada. Rosak mereka ini bererti tidak akan ada pemimpin dan generasi pelapis.Tetapi tidak ramai bahkan boleh dibilang jari umat Islam yang berfikiran begini. Hari ini kebanyakan umat Islam hendak jadi pemimpin kerana di situ ada kepentingan peribadi. Tidak mengapa kalau rakyat hancur dan jadi alat demi kepentingan mereka. Kerosakan dan keruntuhan akhlak para pemuda dan pemudi bangsa tidak menjadi kebimbangan mereka demi menjayakan agenda peribadi mereka. Begitulah cara berfikir kebanyakan umat Islam hari ini.
Tetapi bagi orang yang boleh berfikir dan boleh menganalisa masyarakat, apabila melihat kepada apa yang berlaku waktu ini, dia sudah tahu apa akan terjadi 50 tahun akan datang. Yakni dia melihat sama ada dari segi:
- perkembangan politik
- perkembangan pemuda-pemudinya
- perkembangan hasil pendidikannya
- ekonominya- keadaan masyarakatnya.
Begitulah kaedahnya untuk membaca masyarakat. Untuk menjadi seorang yang peka dalam hal ini tidaklah susah. Caranya ialah dengan:
- mengasah akal- menghidupkan roh
- memahami isu-isu semasa seperti perkembangan sistem pendidikan, politik dan sebagainya
- melihat buahnya atau hasil perkembangan tadi yakni apa yang telah terjadi kepada muda-mudi.
Dengan itu kita akan dapat menjangkakan apa yang akan jadi 100 tahun akan datang. Begitulah asas-asas untuk kita menjadi orang yang berfikir mengenai masa depan agama dan bangsa kita. Semua orang boleh berperanan sebegitu tetapi selama ini kita telah membunuh akal dan jiwa kita sehingga hilang kepekaan terhadap apa yang berlaku kepada agama dan bangsa, perkara itu tidak dapat kita fikir dan rasakan.Selama ini kebanyakan orang Islam hanya memikirkan soal makan dan minum serta bagaimana untuk hidup senang dan berseronok sahaja.
Justeru itu, tiada kepekaan terhadap apa yang akan berlaku kepada agama dan bangsa. Tetapi bagi mereka yang peka dan bertanggungjawab, dia akan rasa takut dan bimbang terhadap apa yang akan menimpa bangsa dan negaranya.Walaupun tidak belajar tinggi hingga ke peringkat universiti, seseorang itu tetap boleh menjadi orang yang berjiwa besar dan berfikir mengenai masa depan bangsanya dengan menajamkan akal dan rohnya dan berguru dengan pengalaman dalam kehidupan yang dilaluinya. Dia akan dapat melihat apa yang akan berlaku pada orang Melayu 20 tahun lagi hingga dengan sebab itu dia akan sentiasa memikirkan nasib bangsanya.Kalau kita lihat masyarakat, sewaktu taraf pendidikan masih di peringkat awal kemajuannya di tahun-tahun 50 dan 60-an dahulu, tidak pernah pula berlaku kes-kes seperti murid melawan guru, murid bergaduh hingga berbunuh-bunuhan, gejala lepak dan sebagainya. Tetapi sekarang di waktu sudah begitu ramai profesor dan tokoh-tokoh pendidikan, kita dapati ramai pula yang terlibat dengan masalah-masalah yang disebut di atas termasuk penyalahgunaan dadah. Semakin ramai yang ditangkap dan dihantar ke pusat-pusat pemulihan dan pusat serenti.Yang lebih menyedihkan lagi, kebanyakan yang masuk ke pusat-pusat pemulihan itu adalah dari kalangan bangsa Melayu. Di kalangan mereka itu ada guru, jurutera, pegawai dan sebagainya. Yang menjadi masalah kepada masyarakat, jumlah mereka mencecah angka ratusan ribu. Ia berlaku di tengah-tengah masyarakat yang ada ilmu. Begitulah hasil pendidikan pada hari ini. Walaupun perkembangan ilmu makin pesat namun gejala yang melanda masyarakat juga makin berleluasa.Dari sudut perkembangan politik pula, masyarakat boleh berpecah belah bahkan suami isteri pun boleh bercerai disebabkan perbezaan fahaman politik. Dalam masjid pun boleh berlaku pergaduhan kerana perbezaan politik. Ini buah dari perkembangan politik hari ini. Ketika musim pilihan raya kita dapat lihat nanti ada emak ayah, adik-beradik dan suami isteri tidak bertegur sapa walaupun hidup serumah hanya kerana perbezaan fahaman politik. Begitu haru-biru dibuatnya. Itulah buah politik hari ini.Manakala perkembangan ekonomi pula, kita dapati belum banyak lagi kemajuan pembangunan ekonomi yang berlaku di tangan orang Melayu. Walaupun sudah berbagai usaha dari pihak kerajaan bagi memajukan ekonomi orang Melayu namun keadaan masih tidak banyak berubah. Yang ada hanya ekonomi negara. Sejak tahun 1957 sampai sekarang, sudah adakah sebuah bandar yang dibangunkan dan dimajukan sepenuhnya oleh orang Melayu? Walaupun sudah 50 tahun berusaha untuk membangunkan ekonomi orang Melayu, tetapi sebuah pekan orang Melayu pun belum ada.Kebudayaan pula sudah rosak.
Kebudayaan sebenarnya ialah cara hidup seperti cara berkeluarga, cara bermasyarakat, cara berekonomi dan cara berpendidikan. Kebudayaan itu dari perkataan budi dan daya.
Budi itu akhlak manakala daya pula ialah usaha dan tatacara.
Ertinya dalam pergaulan sesama manusia, apakah ada budi di situ? Apakah ada akhlak atau tidak? Apakah tatacaranya betul? Budaya itu cara hidup dari semua aspek. Contohnya, umat Islam, budayanya apabila berhimpun, perempuan di satu tempat, lelaki di satu tempat yang lain. Tapi cuba lihat apa yang berlaku sekarang. Umat Islam bebas bergaul lelaki dan perempuan di mana-mana. Begitu juga dengan berpakaian. Budaya umat Islam berpakaian menutup aurat. Namun bukan sedikit umat Islam sekarang yang tidak menutup aurat, baik lelaki mahupun perempuan.Jadi begitulah beberapa contoh bagaimana kita membaca masyarakat. Kita sudah dapat melihat buah atau hasil dari perkembangan empat sistem dalam kehidupan iaitu pendidikan, politik, ekonomi dan kebudayaan. Untuk memahami hal ini tidak semestinya kita mempunyai degri dalam bidang-bidang berkenaan. Jika kita tajamkan akal dan ada cita-cita untuk membaiki nasib bangsa, kita akan dapat melihat dan memahaminya.
Diambil dari Kawan Sejati
2 comments:
:: salam... rata2nya para guru mengajar murid dan pelajarnya... cuba semampu mungkin menghabiskan sukatan pelajaran... bukannya mendidik... kalau ada yang mendidik... jumlahnya tak seramai manapun...
:: mengajar dan mendidik jauh berbeza makna antara keduanya... emmm... dan banyak angkubah lain yang membentuk sikap dan peribadi murid serta pelajar yang para guru hasilkan...
Salam Ramadhan..
Itulah senario yang berlangsung di sekolah kini..."janji gaji aku jalan!"
Pengisian pendidikan hari ini tidak lagi berpusat pada pembangunan spiritual, tumpuan ialah pada kejayaan fizikal tanpa mengambil kira keperluan dalaman anak-anak kita...
Sedangkan apabila spiritual anak-anak stabil, ia menggerakkan anak-anak untukk berfikir secara jitu tentang kesan dan akibat sesuatu tindakan. Itulah yang akan mendorong mereka menjadi manusia yang benar-benar mantap dari segi JERI...
Bukan tugas yang mudah, tapi kalau dijinjing bersama mesti akan menjadi ringan!
Post a Comment