Saturday, October 6, 2007

Memberi dan Menerima (3)

Cinta yang hilang

Nina merenung bait-bait puisi yang baru selesai ditulisnya. Rasanya itulah puisi yang sesuai untuk mengambarkan hati dan dirinya saat ini. Ada duka yang meruntun dijiwanya namun Nina tidak berdaya untuk melenyapkannya.

Bertentang mata ku tidak lagi merasakan cinta..
Berpaling muka bagaikan tiada apa..
Antara kita tiada lagi manis cinta..
Hilang bicara bila kita bersua..

Namun aku masih berharap..
Rasa cinta kita masih ada..
Meski pun kian pudar tawa mesra
Jua kian luput kenangan bahagia..

Kian jauh..
Hati kita kian menjauh..
Rindu juga semakin jauh..
Dan cinta.. entah adakah lagi sisanya.

Hilangkah bisa cinta kita..
Di telan masa.. di hanyut badai..
Lupa pada janji lama..
Dan yang tinggal hanya pura-pura..

Cinta yang hilang..
Di manakah jejaknya….

Percintaan antara Nina dan Mirhan sudah berusia 2 tahun. Kisah-kisah manis sudah lama reput dan lapuk hingga bagai tiada kesannya dihati mereka berdua. Nina kesal! Tiap kali bersua mereka bagai anjing dan kucing, ada saja yang menjadi pertengkaran. Hal-hal yang sekecil-kecilnya pun akan menjadi punca perselisihan faham yang menyebabkan masing-masing bermasam muka. Entahlah.. adakah kerana ego atau mereka memang tidak serasi bersama. Mungkin juga kerana usia yang masih muda, kurang matang serta tidak tahu apakah erti cinta yang sesungguhnya. Kata orang rajuk dan cemburu itu tanda sayang. Namun bagi Nina, rajuk dan cemburu hanya akan menyebabkan mereka berdua saling luka melukai. Hubungan Nina dan Mirhan bagai telur di hujung tanduk, bagai retak menanti belah. Nina menarik nafas berat. Kesal dengan apa yang terjadi.

Kadang kala selepas bergaduh dengan Mirhan, Nina kesal dengan kata-katanya sendiri. Kerana amarah dan tidak puas hati, Nina akan melepaskan kata-kata yang akhirnya melukai perasaan Mirhan. Memang ada rasa bersalah. Tapi untuk melafazkan maaf tidak sekali jika punca masalah itu adalah dari Mirhan!

Bukannya dia tak sayang pada Mirhan. Bukannya tak cinta. Tapi sikap Mirhan yang panas baran, acuh tak acuh serta selalu menuduh secara melulu kerap menghiris perasaannya. Lelaki kesayangannya itu juga seakan tidak memahami isi hatinya. Tidak! Dia bukannya tidak memahami isi hati Nina. Cuma dia tidak lagi teringin untuk menyelami kehalusan hati dan perasaan seorang gadis sepertinya. Nina kesal dengan sikap Mirhan yang tidak menghargai detik-detik manis mereka bersama. Adakalanya Mirhan bersikap dingin dan selalu pula melebih-lebihkan kawan berbanding kekasihnya. Di awal percintaan dulu semua sikap Mirhan itu tidak kelihatan. Semuanya baik belaka. Mirhan selalu ingin berada di sisinya. Mirhanlah yang paling manis, yang paling romantis dan paling penyabar lagi penyayang. Tapi itu dulu, saat Mirhan memikatnya dengan seribu satu macam cara agar cintanya dapat ditawan oleh Mirhan. Kisah indah dan romantis itu hanya berlanjutan selama setahun. Jika dulu andai rajuk, Mirhan akan memujuk. Andai marah, Mirhan akan mengalah. Tapi kini? Tiada lagi gurau senda. Tiada juga tawa gembira. Bila bertentang mata, sudah tiada debaran di dada. Semuanya hampar.. semuanya tawar!

Rindu? Nina memang merindukan saat-saat indah ketika Mirhan mula-mula dikenalinya. Seakan-akan lelaki itu tidak boleh hidup tanpanya. Saban siang dan malam. Ada saja panggilan telefon dari Mirhan. Kalau seminggu tak bersua. Rindu di hati begitu bergelora. Tapi kini? Dia tidak lagi merasa rindu pada Mirhan. Mereka bertemu pun kerana hanya satu kemestian. Mereka bertemu kerana mereka masih lagi bergelar kekasih dan sebagai sepasang kekasih mereka perlu bertemu sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Tapi pertemuan biasanya hanya mendatangkan perbalahan. Adakalanya pertemuan hanya akan mengeruhkan hubungan mereka. Nina kesal. Dia tidak tahu mengapakah hubungan mereka tidak boleh pulih seperti dulu-dulu. Kenapa? Adakah hubungan mereka sudah mencapai tahap ‘expired date’? sudah basi? Kemanisannya sudah hilang rasa? Lagi-lagi Nina mengeluh.

“ Sepasang kekasih mesti cuba saling faham memahami. Selalu bertolak ansur dan paling penting hormat menghormati. Mesti ada sikap give and take.. willing to sharing” Kata Farhana kakak angkatnya. Farhana sudah berkahwin dan punya seorang cahaya mata. Ketika itu Nina tidak berkata apa-apa. Dia biarkan Farhana terus memberikan kaunseling percuma kepadanya.

“ Kita ni tak patut kalau asyik memberi saja tapi tidak menerima. Jadi masing-masing kena memberi kasih sayang dan perlu menerima kasih sayang.. kalau kita asyik menerima saja pun tak elok. Lama-lama dia akan bosan memberi sedangkan kita hanya tahu menerima tapi tak pernah terfikir untuk membalasnya. Kita orang perempuan ni suka sangat di manja, dihargai .. disayangi.. orang lelaki kadang-kadang tak faham tu. Tapi kita sendiri pun selalunya tak faham, yang orang lelaki ni memang tak memahami sikap semula jadi kita tu. Kita kenalah juga cuba memahami sikap semula jadi orang lelaki yang memang bengap sikit pasal hati dan perasaan orang perempuan. Sebelum kita salahkan orang lelaki kerana tak memahami diri kita, kita cerminkan juga diri kita sendiri. Kita telah cuba fahami mereka? Kita telah cuba menyesuaikan diri dengan sikap mereka? Atau kita terlalu beria-ia menyuruh mereka mengubah sikap supaya sesuai dengan kehendak kita?”

Semakin banyak yang Farhana cakap semakin bingung Nina mendengarnya. Muka Nina berkerut-kerut kerana tidak faham maksud dan apa yang ingin di sampaikan oleh Farhana. Farhana senyum, dia tahu Nina tidak dapat menerima mesej yang ingin disampaikannya.

“Takpe lah Nina, Kakak cuma nak cakap kat Nina. Nina bersabarlah dan terima Mirhan seadanya.. jangan harapkan Mirhan sebagai lelaki yang sempurna. Sebab Nina pun bukan gadis yang sempurna. Tiada orang yang sempurna dalam dunia ni.. masing-masing ada kelebihan dan kekurangan..kan?” Nina menganguk. Farhana memang selalu memberi nasihat setiap kali dia dilanda krisis dengan Mirhan. Tapi sudahnya bukan seperti yang di harapkan. Semua tunjuk ajar dan pendapat Farhana tidak berkesan terhadap hubungan cintanya yang pelbagai ragam masalahnya.

Bagi Nina, dia sudah cuba sedaya upaya untuk memahami sikap Mirhan. Tapi Mirhanlah yang tidak berusaha untuk memahami dirinya. Nina kerap terkilan dengan sikap Mirhan yang acuh tak acuh itu. Nina sudah penat dengan hubungan cintanya yang telah kehilangan seri. Nina sudah bosan merajuk dan memujuk diri sendiri. Nina sudah bosan untuk bertolak ansur dengan Mirhan atas sebab-sebab kecil tapi menyakitkan hati. Petang ini Nina akan berjumpa dengan Mirhan. Nina nekad! Putus hubungan mungkin lebih baik daripada meneruskan percintaan yang meletihkan ini!

“Sekarang kita nak ke mana?” Tanya Mirhan selepas menjelaskan kelewatannya. Dengan muka yang masam. Nina angkat bahu.

“Ke mana sajalah!” Balas Nina kemudian. Mirhan menarik nafas panjang. Dia tidak suka pada jawapan Nina itu. Apatah lagi jawapan itu bernada sinis. Muka Mirhan berubah keruh. Nina sempat menjeling muka Mirhan yang mula mencerut itu.

“Kalau takde mood nak keluar, baik tak payah Nina..” Kata Mirhan sambil merengus kecil. Api kemarahan Nina mula terpercik mendengar kata-kata Mirhan.

“Oh..? begitu..? maaflah kalau aku ni hanya menyusahkan kau!” Balas Nina dengan nada geram.

“Bukan macam tu maksud aku Nina.. tapi kau selalu macam ni. Kata nak keluar.. tapi bila keluar kau moody. Lepas tu tak tahu nak ke mana.. alih-alih kita bergaduh!” ucapan Mirhan yang terakhir itu agak keras. Hati Nina terguris. Api di hatinya bagai di siram minyak oleh Mirhan.

“Aku? Moody? Mirhan.. baik kau fikir elok-elok.. aku dah tercanggak-canggak menunggu kau kat sini lebih setengah jam… lepas tu kau suka-suka je cakap, kalau takde mood nak keluar baik tak payah keluar? Sebenarnya kau yang takde mood nak keluar kan.. sebab tu kau sengaja melengah-lengahkan masa. Biarkan aku macam si bodoh tunggu kau kat sini!” Perang telah bermula. Dada Nina berombak-ombak kencang menahan marah.

“ Oh! Semuanya pasal aku lambat sikit. Tadi kata tak apa! Kan aku dah cakap aku tak sengaja.. kau boleh tak jangan suka sangat merajuk! Melenting!” nada Mirhan tak kurang kerasnya.

“Oh! Aku ni suka merajuk? Suka melenting? O.k fine! Aku tak akan merajuk.. tak akan melenting.. tak akan marah-marah lagi! Mulai hari ini aku tak akan menyusahkan kau dan menganggu hidup kau lagi. Kita putus!” Ucap Nina hampir menjerit.

“Baik! Aku memang tahu kau dah lama nak putus dengan aku. Aku memang dah agak dah. Kau saja jadikan alasan kecil ni untuk putuskan hubungan! Mungkin kau dah jumpa lelaki lain yang lebih baik dari aku? Tak payah lah Nina.. tak payah nak berlakon dengan aku.. dari sikap kau aku dah tahu! Baik.. aku tunaikan permintaan kau. Kita putus!” Nina bertambah sakit hati dengan tuduhan Mirhan yang langsung tidak masuk akal itu.

“Kau cakap lah apa saja Mirhan! Cakaplah.. Aku dah bosan dengan perangai kau yang suka memfitnah orang! Tak kira lah kau nak kata aku berlakon ke.. aku ni memang dah ada jantan lain ke.. aku je yang tahu alasan aku nak putus dengan kau! Kita memang tak serasi.. kita memang dah tak boleh teruskan hubungan ni. Kita dah sampai jalan mati. Dah buntu Mirhan.. selamat tinggal!” Nina melangkah laju meninggalkan Mirhan. Matanya basah dan hatinya memang teramat sakit.

“Kau! Nina.. hish!!” Mirhan menyepak tiang perhentian bas untuk melepaskan amarahnya. Mujurlah tidak ada sesiapa di situ ketika itu. Jadi lagak pertengkaran dan perpisahan mereka berakhir begitu saja.

********

Kisah itu sudah 5 tahun berlalu. Pelbagai peristiwa pahit manis terjadi dalam hidupnya. Kematian kedua ibu bapanya yang tragis banyak mengalirkan airmatanya. Nina menjadi lebih tabah setelah mengharungi dugaan. Selepas Mirhan, Nina ada bercinta dengan beberapa jejaka lain tetapi selalu saja kecewa. Bermacam-macam jenis lelaki yang pernah di temuinya. Ada yang kedekut. Ada yang gatal dan suka meraba serta mengambil kesempatan. Ada pula yang asyik pinjam duit, yang Casanova, yang pengotor, yang kebudak-budakan dan berbagai jenis lagi. Nina pernah juga tersangkut dengan lelaki gay sangat kacak, tapi sebenarnya berpura-pura bercinta dengan Nina hanya untuk menyembunyikan sikap asalnya yang gay. Berjumpa dengan pelbagai lelaki menyebabkan Nina mula memahami serba sedikit sikap lelaki di sekelilingnya. Nina mula tahu apakah yang lelaki suka tentang perempuan dan ciri-ciri gadis yang menjadi pilihan lelaki.Tapi malangnya Nina tidak berjaya menemui cinta sejatinya. Cinta yang telah hilang memang sukar untuk dicari gantinya. Tidak ada lelaki yang benar-benar menepati citarasa dan keserasiannya. Mungkin juga mereka semua bukanlah jodohnya.

Nina mula terkenang Mirhan. Mungkin dulu Mirhan panas baran orangnya dan Nina tidak pandai menghadapi sikap Mirhan malah berkeras pula untuk menang dengan sikap sendiri. Mereka tidak pernah cuba bertolak ansur. Mereka tidak pernah cuba memberi dan menerima. Mereka tidak cuba berkongsi perasaan. Tiada perbincangan dan mereka tidak pernah cuba untuk meminta maaf atau memaafi. Nina menghela nafas berat. Sudah 5 tahun mereka tidak pernah bertemu. Mirhan sudah tentu bertemu penganti. Mungkin Mirhan sudah menemui cinta sejatinya. Entah di manakah lelaki itu sekarang. Sebenarnya Nina tahu Mirhan seorang lelaki yang baik. Mirhan bukan kaki perempuan dan juga setia orangnya. Nina tahu itu. Tapi Mirhan yang pada mulanya prihatin dan romantis berubah menjadi kurang prihatin serta kurang romantis menyebabkan Nina merasa tidak puas hati. Nina menyalahkan sikap Mirhan yang berubah itu. Nina sedar.. sikap Mirhan yang mulanya terlalu banyak memberi dan Nina pula terlalu banyak menerima. Menjadikan hubungan mereka tidak seimbang dan cinta mereka menjadi begitu rapuh!

“ Nina…Pembeli rumah dah datang!” Nina tersentak. Lamunannya melayang. Khalid menolongnya mencarikan pembeli untuk rumah pusaka ibunya yang ingin dijualkannya, Khalid datang dengan seseorang. Nina tertegun. Mimpikah ini? Mirhan!

“Nina?” Mirhan menatapnya. Juga tergaman.

“Mirhan? Kau pembeli?” Tanya Nina masih terkejut. Mirhan menganguk.

“Oh dah kenal?”Sampuk khalid. Nina mengiakannya. Baru saja dia melamunkan lelaki itu. Panjang umur pun!

“Kalau begitu mudahlah.. aku ada hal ni.. korang atur sendiri lah ye” Khalid berlalu.

“Kau nak jual rumah ni?” Tanya Mirhan. Nina menganguk.

“Rumah ni takde siapa yang tinggal. Aku kan anak tunggal. Mereka dah takde. Bukannya aku tak sayang rumah ni, tapi banyak kenangan yang memedihkan dalam rumah ni.Aku nak jual rumah ni dan beli rumah lain yang dekat sikit dengan Bandar. Senang aku pergi kerja. Tak payah sewa, kalau aku nak dok sini sesorang pun sunyi..” Mirhan menganguk-angguk. Nina segera membawa Mirhan melihat-lihat rumah itu.

“Kau apa khabar? Kau dah kawin?” Tanya Mirhan. Nina hanya tersenyum.

“Kenapa tanya pasal kawin pula? Jangan bimbanglah.. Aku taklah frust sangat lepas putus cinta dengan kau” gurau Nina enggan menyatakan statusnya. Dia malu sebenarnya. Sudah berkali-kali bercinta tapi semuanya tidak menjadi. Mungkin memang dia yang tidak pandai memahami lelaki sebab itu masih lagi belum bertemu jodoh. Itulah fikiran Nina.

“Eh.. ke situ pula kau ni. Taklah! Saja tanya. Sudah 5 tahun kan? Aku terkejut nampak kau tadi! Tak sangka aku terjumpa pula kekasih lama…” Gurau Mirhan sambil ketawa kecil. Nina turut ketawa. Walau pun mereka tidak berpisah secara baik dulu, tak sangka mereka kini masih boleh berbual dengan baik.

“Kau pula? Kau beli rumah ni untuk isteri ke?”Tanya Nina menduga. Mirhan tersenyum.

“Tak.. bukan untuk isteri. Tapi bakal isteri..” Jawab Mirhan sambil menatap terus ke mata Nina seolah-olah ingin melihat riaksi Nina.

“Oh…. Begitu! Tahniah.. tak lama lagi bergelar suami. Kawin juga kau akhirnya! Siapalah gadis bertuah tu ye!” Kata Nina bersahaja meski pun jauh di lubuk hatinya merasa cemburu. Dia cemburu kerana Mirhan telah menemui cinta sejatinya sedangkan dia masih lagi sendiri. Mendengar kata Nina, Mirhan hanya tersenyum.

“Macam mana? Berminat dengan rumah ni? Harga masih boleh runding..” ujar Nina setelah mereka puas meronda seluruh pelusuk rumah dan halaman.

“ Baik.. aku nak beli. Kalau loan aku approved aku akan bayar deposit.Tapi Nina.. aku masih nak tanya. Kau…dah kawin ke? Aku iklas nak tahu ni. Walau pun semua tu kisah lama, tapi sepanjang 5 tahun ni aku selalu terfikir. Kat manalah kau sekarang? Bahagia tak kau sekarang.. aku benar-benar teringin nak tahu khabar kau!” Kali ini Mirhan bertanya serius. Nina menarik nafas panjang. Dia ketawa kecil.

“Mirhan.. baiklah! Biar aku berterus terang dengan kau. Sebenarnya dalam tempoh 5 tahun ni aku dah banyak kali tukar teman lelaki. Tak satu pun menjadi. Mungkin aku terlalu demand kut. Mungkin juga pasal sikap aku ni memang tak boleh di terima oleh orang lelaki. Mujurlah kau tinggalkan aku awal-awal. Kalau tidak tentu kau merana kerana sikap aku..” Kata Nina sambil tertawa lagi. Biarlah dia merendah diri kini. Itu adalah kenyataannya. Walau pun agak malu tapi Nina tidak lagi merasa perlu untuk merasiakannya.

“Ai.. siapa yang tinggalkan siapa? Kau yang tinggalkan aku.. kau yang minta putus, tak ingat? Tapi aku tak ambil hati Nina. Sebab, lepas kau tinggalkan aku, barulah aku tahu.. memang sikap aku agak melampau juga. Tapi yelah.. masa tu kita muda lagi. Aku pun darah muda, panas baran. Tak fikir apa nak cakap, main lepas saja.. tulah! Cinta monyet katakan.. ha ha ha..” Mendengar tawa Mirhan, Nina hanya mampu tersenyum kelat.

“Yelah.. aku tahu. Aku nak minta maaflah pasal yang dulu-dulu tu. tak kiralah siapa yang salah. Kita masih terlalu muda. Tak matang.Tapi.. syukurlah kau jumpa juga cinta sejati kau! Nanti kalau kau melangsungkan majlis tu jangan lupa pula jemput aku. Tak payahlah kau bagitau bakal isteri kau yang aku ni kekasih lama. Tak pasal-pasal jadi gaduh pula nanti.. dah cukup-cukuplah kita bergaduh dulu kan?” Mirhan jadi ketawa mendengar kata-kata Nina. Kenangan itu memang lucu bila di kenang semula. Mereka terlalu muda, ego dan mentah. Kerana Ego mereka saling sakit menyakit dan luka melukai. Memang tidak bermakna.

“Aku pun hairanlah.. kenapa kita tak sudah-sudah nak bertekak. Bila ingat-ingat balik, aku rasa kita lah pasangan paling suka bertengkar. Tiap kali jumpa mesti nak gaduh. Dah jadi habit kita pula kan?” Tambah Mirhan. Nina juga merasa lucu dan mentertawakan kisah silam itu.

“Nina.. Kau masih sudi jadi kawan aku?”Tiba-tiba Mirhan bertanya.

“Kenapa tiba-tiba tanya macam tu? Kawan dengan kau? Aku nak juga kawan dengan kau. Tapi nanti.. luka lama berdarah semula siapa nak jawab? Kau tu takpelah dah ada buah hati.. takan nak berdarah kembali. Aku ni yang dok sesorang ni.. nanti teringat-ingat kisah cintan-cintun dulu-dulu, tak pasal-pasal datang balik cinta yang hilang tu! tak ke parah dibuatnya… kalau kau nak carikan jodoh untuk aku boleh le aku pertimbangkan.” Kata Nina sambil separuh berjenaka. Mirhan tidak menyambut tawa Nina. Sebaliknya merenung ke mata Nina dengan serius.

“Kenapa?”tanya Nina hairan.

“Kita mulakan semula.. Nina! Kita kembalikan cinta yang hilang tu..” Kata-kata Mirhan itu amat mengejutkan Nina. Gila ke?

“Kau nak gaduh ke ni, Mirhan? Bakal isteri kau tu kau nak letak mana? Ingatkan kau dah ada buah hati ni dah matang lah… tapi rupanya dah sewel pula jadinya” Mirhan ketawa mendengar kata-kata Nina.

“Kau memang tak banyak sangat berubah Nina. Mulut masih lazer macam dulu.. tapi takpe. Aku dah faham perangai kau.. Nina. Sebenarnya selama 5 tahun, lepas kita putus aku pun macam kau juga. Berkali-kali putus cinta. Semuanya tak menjadi. Entahlah.. mungkin aku ni tak cukup hensem, mungkin juga tak cukup caring, atau tak berharta.. aku dah bosan putus cinta. Lagi pun gadis-gadis suka lelaki yang berkerjaya, ada kerja tetap.. ada kereta, rumah… So aku kira nak beli rumah ni untuk masa depan. Nak kawin anak dara orang kenalah sediakan rumah untuk dia tinggal, aku belajar itu lepas beberapa kali, kena tinggal buah hati sebab dirampas oleh lelaki lain yang lebih berkemampuan. Diam-diam dalam 5 tahun ni aku selalu teringat kat kau dan aku selalu berharap dapat jumpa kau balik tak kiralah kau sudah berkawin atau pun belum.. Aku kata tadi nak beli rumah ni untuk ‘bakal isteri’. Tapi ‘bakal isteri’ tu memang belum ditemui calonnya.. Bila kau cakap kau masih sendirian.. luka lama mungkin berdarah kembali.. aku fikir.. kau sudi tak kalau kita mulakan semula?” Nina terdiam. Jadi Mirhan juga sepertinya? Masih sendiri. Masih mencari.

“Kau tak takut ke luka lama berdarah semula? Kalau kita bersama semula.. entah-entah kita akan asyik bergaduh macam dulu-dulu lagi?”Tanya Nina sambil tersenyum. Mirhan tergelak.

“Dulu aku Ego. Kau juga sama.. Semasa kau putuskan hubungan aku teringin sangat nak pujuk kau supaya jangan putuskan hubungan. Aku teringin sangat nak bagitau kau yang aku masih sayangkan kau. Tapi aku biarkan kau pergi. Banyak yang aku kesalkan selepas kita berpisah. Aku pendamkan saja semuanya. Bila dapat tahu dari kak Farhana yang kau dah ada buah hati baru, aku sakit hati. Tapi aku tahu, Aku tak pernah cuba nak fahami kau. Aku selalu ikut nafsu marahku bila kita bertengkar dan aku sikit pun tak mahu mengalah.. Jadi Nina. Kalau kita masih boleh mulakan semula.. aku ingin kau tahu. Aku rindu pada cinta kita dulu. Sebenarnya ada banyak manisnya, cuma aku saja yang tidak menghargai..” Mata Nina berair. Dia terharu. Seakan-akan telah menemui kembali sinar cintanya yang telah hilang itu. Biarpun ia masih samar-samar.

“Nina…kau menangis?” tanya Mirhan sambil menyentuh bahu Nina.

“Tidak.. aku gembira Mirhan. Mungkin ini peluang kedua untuk menebus apa yang telah kita hilangkan…” Mirhan mengganguk. Tangan Nina digengam erat seolah-olah menyakinkan yang kali ini cinta mereka akan membuahkan hasil.

Sekiranya masih ada sisa cinta dalam hati, mungkin ia masih boleh mekar kembali. Mungkin cinta itu umpama sebiji buah mentah dan perlukan satu jangka masa untuk ranum dan dipetik untuk dinikmati kemanisannya. Mungkin juga cinta itu satu pertaruhan yang menjanjikan bahagia atau sebaliknya. Apa pun persepsi untuk kalimat cinta itu, tapi setiap orang tentu ada kisah cintanya. Dan bila cinta itu datang, hargailah ia.

Nukilan:
Mayang
mimieaya@hotmail.com

——————————————


No comments: