Banyak kemelut kehidupan bersandarkan kepada keadaan-keadaan di mana kita pandai menyebut tapi kita gagal memahami apa yang kita sebut. Ada pula keadaan di mana kita tidak dapat menyebut tetapi memahami apa yang kita rasai ketika itu.
Ramai di antara kita seringkali tersepit di antara dua keadaan, satu keadaan di mana kita tidak sampai hati menyebut apa yang kita rasai ketika itu kerana kita faham dengan keadaan-keadaan yang dihadapi oleh pihak satu lagi. Contohnya kita tidak mengatakan kita tidak suka baju berwarna merah bila baju itu diberikan oleh yang tersayang kepada kita. Malahan kita terus menyarungkan baju itu dengan ucapan terima kasih teramat sangat di atas pemberian yang sungguh tidak diduga itu…(sehelai baju yang berwarna merah terang). Kita berterima kasih di atas kesusahpayahan yang tersayang melaburkan tenaga,masa dan wang untuk mendapatkan sesuatu (sehelai baju berwarna merah terang) untuk kita.
Kita tidak akan membayangkan bahawa yang tersayang itu tidak memahami warna kegemaran kita ataupun kita sebenarnya dah lama mengingin sepasang kasut Crocodile yang seringkali “diusha” bersama yang tersayang.
Kita sangat memahami bahawa yang tersayang sedang mencuba untuk mengenali kita tetapi kita tidak menyebut apa yang terbuku kerana tidak sampai hati untuk menyentak dan memberitahu dia bahawa apa yang diberi itu bukan keperluan dan kehendak kita. Ini kerana kita ingin yang tersayang itu cuba mengenali diri kita dari pemerhatiannya samada dari lenggok bahasa, tutur kata, perbuatan yang menunjukkan cirri-ciri yang ada dalam diri kita. Seringkali pula kita akan mengatakan... “berikan apa yang telah kita berikan kepadanya…itu sahaja”!
Sikap kita itu sebenarnya lebih kepada ingin diri kita diterokai tanpa apa-apa petunjuk kerana cara ini menimbulkan rasa kita dihargai dan diperlukan. Ibarat kalau kita nak kan sesuatu, kita akan berusaha mendapatkannya sendiri kerana itu akan membuatkan kita lebih menghargai apa yang telah kita perolehi.
Satu lagi keadaan ialah kita terikat dengan ego kita yang menyebabkan kita merasakan perlukah aku menyebut kesemuanya dan meletakkan segala-galanya di atas tapak tangan kamu? Kenapa tidak kamu sendiri yang cuba mencari dan mendapatkan sendiri sebagai tanda kamu sukakan aku?!
Ego itu seringkali mengikat kita dari bersikap lebih terbuka dan melihat satu situasi atau masalah dari pelbagai sudut. Kalau sehelai baju merah itu adalah pemberian ikhlas, kenapa tidak dilihat dari sudut pemberian, bukan dari sudut warnanya? Mengapa kerana ego, kita sering menyempitkan pandangan kita hanya kepada sudut diri kita sendiri?
Keadaan ini akhirnya menyebabkan kita menyebut sesuatu tanpa benar-benar memahami apa yang kita sebut itu kerana kita hanya melihat situasi itu dari pandangan kita sendiri. Kenapa tidak kita cuba melihat satu situasi dari dua pandangan ibarat kata 'two heads ar better than one'?
Apabila kita hanya mengutip apa yang kita dengar dan menyebutnya kembali tanpa benar-benar menyelami apa yang cuba disampaikan oleh penyebut menandakan kita bukanlah seorang pendengar yang baik. Ini kerana kalau sekadar mengulang, perkara yang cuba dirungkai akan mati dan berhenti di situ sahaja. Kita perlu mengupas semula apa yang disebut dengan bertanya 'apa, kenapa dan bagaimana' sebagai petanda bahawa kita sedang cuba memahami apa yang cuba disampaikan dan apa yang tersirat di sebalik yang dikatakan itu. Contohnya, kita tidak berapa berkenan dengan baju berwarna merah terang, bagaimana boleh disebut kepada yang tersayang bahawa kita lebih menginginkan sepasang kasut crocodile dan warna merah bukanlah warna kegemaran kita!
Bila memikirkan bagaimana akan kita sebut tanpa menyentuh hati yang tersayang menyebabkan kita seringkali menyimpan! Disinilah di mana kita akan tersepit antara 'tak sampai hati' dan 'ego'!! Dan yang menariknya kita akan mengatakan ini bukan soal ego, cuma tak sampai hati nak sebut!!! Iya ka??
No comments:
Post a Comment