Thursday, October 4, 2007

Nikmatnya Khusyuk Solat

Oleh Mohd Zawawi Yusoh

Cerita kenikmatan khusyuk ini pernah seorang teman mengadu kepada saya satu petang sejurus selesai sahaja solat sambil menangis bertanya mengenai apa yang dia rasa dalam solat Asar.

Katanya, “Saya tak pernah rasa apa yang saya rasa petang ini tenang sangat hening dan syahdu.”

Dalam linangan air mata beliau bertanya adakah ini khusyuk? Saya terpaku dan rasa malu kerana dia bertanya dalam keadaan menikmati sedangkan saya hanya ada teori?

Selepas beberapa hari beliau bertanya lagi, kenapakah perasaan yang dinikmatinya tak jumpa ‘line’ ~(dapat feel). Adakah dia banyak dosa? Atau susah sangat nak jumpa ‘line’.

Selepas saya beritahu beberapa tip, katanya barulah dia jawab tak lama selepas perasaan yang dia rasa dulu kerana ‘terjumpa’ dan bila sudah jumpa kaedahnya barulah dia banyak kali merasainya.

Antara tip-tip untuk khusyuk lagi ialah :

  • Ketika solat kita mesti beritahu hati betapa bahayanya sekiranya kita tidak khusyuk. Kerana kalau tidak khusyuk nanti solat tidak punya upaya mengubah perangai dan akhlak buruk yang kita lakukan.

Dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya solat itu boleh mencegah fahsya’ dan mungkar.” Kalau masih berterusan berdosa kita dalam keadaan bahaya. Dosa ke neraka. Solat tapi tak berubah adalah bahaya.

  • Kita mesti hadirkan tiga rasa iaitu al-tolab (dalam solat kita hendak minta-minta dengan Allah.) Sebab itulah bacaan dalam solat semuanya ada unsur meminta dengan Allah, seterusnya kena ada rasa al-khudhu iaitu rasa hina diri, apabila rukuk rasa hinanya diri lebih-lebih lagi ketika sujud, kemudian kena ada rasa al-takzim (betapa agungnya Allah).
  • Kena ada rasa bertemu dengan al-Rasul terutama ketika membaca tasyahud. Ayat yang kita baca assalaamualaika… seolah kita berada di hadapan nabi.
  • Bacaan tasyahud juga perlu digambarkan seolah kita sedang menghadap Allah.

Bacaan inilah yang dibaca oleh al-Rasul ketika menghadap Allah ketika peristiwa Israk dan Mikraj.

  • Dalam sebuah hadis, Allah sangat berbangga apabila mendapati solat hamba-Nya yang khusyuk. Jadi beritahu hati kita betapa kecewanya Allah kalau kita main-main dalam solat.

Antara tip khusyuk solat selepas selesai solat ialah :

  • Kita hendaklah banyak membaca istighfar selepas selesai solat. Minta ampun kepada-Nya segala kelalaian ingatan dan perbuatan.
  • Jangan lupa berdoa lagi supaya Allah beri kekuatan untuk bersolat lebih berkualiti pada solat yang akan datang.
  • Kita juga jangan lupa perkataan salam yang kita baca sebagai penutup solat adalah janji kita mahu jadi orang yang akan menunaikan segala ikrar yang kita ucapkan ketika solat. Salam juga maknanya kita hendak menjadi orang yang selamat dan menyelamatkan.

Cakap kita tidak mengganggu orang, perbuatan kita tidak menyusahkan orang, dengan kita keluarga selamat, syarikat selamat, negara selamat dan selamat dunia akhirat.

  • Barang diingat tanda utama solat yang khusyuk ialah akhlak yang baik. Jika solat banyak tetapi akhlak tidak berubah itu indikator solat tak betul. Semoga kita khusyuk dalam solat.

No comments: