Monday, September 24, 2007

Alahai Remaja Sekarang

Senario remaja perempuan mengurat remaja lelaki menjadi perkara biasa sekarang.

Ada masa si remaja lelaki sampai merah muka kerana malu, tapi si remaja perempuan ini buat selamba sahaja malah bergelak ketawa kerana seronok dapat memalukan remaja kaum Adam tadi.

Inilah antara fenemona yang melanda golongan remaja sekarang, berani mencuba apa sahaja termasuk yang memudaratkan.

Saya juga telah lama perasan keadaan tersebut tetapi menganggap ia sebagai evolusi kehidupan anak-anak muda masa kini. Namun realitinya ia perlu ada batasnya.

Demikian juga pandangan yang diluahkan seorang pemanggil yang ingin berkongsi pendapat dengan pembaca berkaitan isu yang saya timbulkan minggu ini.

“Kalau tak disampaikan sekarang, entah bila pula saya dapat bercakap dengan puan,’’ katanya yang memperkenalkan diri sebagai Zila berasal dari Shah Alam, Selangor.

Menurut Zila, dia amat faham dengan kerenah remaja perempuan yang keterlaluan dan tidak tahu menjaga maruah.

“Saya sendiri mengalaminya. Anak saya lelaki, belajar di luar negara. Teman wanitanya juga belajar di luar negara tapi kini sudah tamat belajar dan kembali ke sini. Hubungan mereka amat rapat. Maklumlah berkawan sejak sekolah menengah.

‘’Yang saya pelik, mak bapak budak perempuan itu tidak pula kisah tentang anak dara mereka. Boleh dikatakan setiap kali anak saya balik bercuti, dia akan bertunggu tangga di rumah saya.

“Saya kerap juga menegur tapi tidak ada perubahan. Semakin menjadi-jadi. Saya juga kena jaga hati anak lelaki saya. Takut silap cakap, dia pula tinggalkan kita. Tapi pelik juga, macam mana mak bapak dia tidak ambil kisah hal anak dia orang. Tak tanya ke ke mana anak daranya itu pergi, dengan siapa. Kalau tidak balik ke mana pula tidurnya?’’ kata Zila.

Keadaan ini, ujar Zila, merisaukan hatinya sebab kalau dia ada di rumah, anak-anak saya yang lain asyik bertanya, kenapa Kak Z itu selalu tidur kat rumah kita?

“Apa saya nak jawab. Yang buat saya tertanya-tanya, walaupun anak saya tidak ada, dia tetap datang dan tidur di rumah saya. Serba salah saya dibuatnya,’’ kata Zila.

Pernah beberapa kali, Zila menelefon ibu bapa gadis itu memberitahu anaknya ada di rumah mereka. Tidak ada suara bimbang pun, malah mereka meminta saya melihat-lihatkan anak mereka pula. Apa dah jadi dengan ibu bapa masa ini? Tidak ambil berat hal ini, perempuan pula itu!

Apa yang menyedihkan sekarang

ini, budak perempuan itu sudah

mula mendesak anak Zila supaya berkahwin dengannya.

“Anak saya itu masih di tahun akhir. Sebulan dua lagi akan menduduki peperiksaan. Kalau siang malam dok telefon mendesak ajak kahwin tentulah tertekan budak itu. Anak saya pula asyik telefon minta izin nak kahwin. Bayangkan perasaan saya. Belajar belum habis dah nak kahwin ini tidak.

“Saya beritahu anak saya supaya jangan layan sebab dia kena tumpukan perhatian kepada pelajarannya. Nak tahu apa terjadi, budak perempuan itu minta putuskan hubungan kalau tidak mahu kahwin… dia tak larat tunggu,’’ tambah Zila.

Kata Zila, sakitnya hati dia, Tuhan sahaja yang tahu. Lapan tahun boleh tunggu, enam bulan lagi tidak boleh ke? Bulan Mei ini anak saya tamat belajar.

“Gatal sangat hendak kahwin, sampai tak sempat-sempat. Tengoklah bagaimana beraninya anak dara zaman ini. Saya yang dah tua ini pun malu dengan suami dan anak-anak,’’ tambah Zila.

Pengalaman ini, kata Zila, mengajarnya banyak perkara termasuk gaya hidup anak remaja yang perlu dikawal sejak awal.

“Salah mak bapak juga tidak ambil kisah hal anak. Macam saya, kawal anak lelaki saya tetapi kalau hari-hari digoda dek anak dara orang, terperangkap juga dia. Beraninya anak dara sekarang tuhan sahaja yang tahu. sampai tidak ada segan silu dan sikap hormatkan orang tua, jaga maruah keluarga. Saya tidak tahu macam mana ibu bapa dia boleh biarkan anak dara mereka sampai macam itu sekali.

“Kalau berpendidikan tinggi, ada kedudukan dan nama sekalipun, jangan biar anak berkelakuan murahan. Untung dapat orang macam saya yang tidak tahu nak buat fitnah dan buat kepoh. Kalau orang lain, tidak tahulah saya apa nak jadi!’’ tambahnya menamatkan cerita setelah mengucapkan terima kasih kerana saya melayaninya berbual.

Perbualan hampir setengah menyedarkan saya akan kewujudan fenomena ini. Memang betul apa yang Zila ceritakan. Seperti Zila saya juga pelik dengan keberanian luar biasa anak dara zaman sekarang. Tidak ada perasaan malu, segan seperti masa lalu.

Pesanan saya kepada Zila, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Belajar daripada pengalaman. Saya pasti ada jalan terbaik buat anak anda menentukan masa depannya walaupun tanpa teman wanitanya itu.

Kisah Zila mengingatkan saya kepada satu e-mel yang saya terima dua hari sebelum itu. Luahan hati seorang bapa yang tercari-cari anak gadisnya yang keluar rumah pada hujung Januari lalu. Sehingga berita ini ditulis, anaknya itu masih tidak pulang.

Bapa itu yang menamakan dirinya M menceritakan bagaimana anak perempuannya berumur 14 tahun keluar rumah dan tidak pulang-pulang setelah mengikut seorang kenalannya.

Dia terpanggil mengirim e-mel setelah membaca kisah yang saya paparkan Anak Siapakah Mereka itu? pada ruangan ini dua minggu lalu untuk mendapatkan pandangan.

Menurut M, dua gadis yang saya gambarkan menunggang motosikal itu sama seperti perangai anaknya yang tiba-tiba berubah menjadi liar kerana pengaruh kawan.

Sedihnya kata M, anaknya itu tidak langsung nampak perangai buruknya sebelum itu. Di rumah terlalu baik, segala pergerakan dikawal, jarang keluar malam. Pergi sekolah hantar dan ambil, pergi kelas petang pun hantar dan ambil. Pendek kata M dan keluarganya kenal semua kawan-kawannya. Namun M menganggap apa yang dilalui sebagai ujian kepadanya sebagai bapa.

“Saya kasihankan isteri saya yang asyik menangis siang malam sejak anak kami itu tidak balik. Maklumlah anak sulung dan perempuan tunggal dalam keluarga. Dia ditatang bagaikan minyak yang penuh. Sudahnya, ini yang terjadi!’’ tulis M yang bertekad akan terus mencari anak gadisnya itu ke segenap ceruk sehingga berjumpa.

Saya membalas e-mel M dengan memintanya bersabar. Kepada M saya nasihatkan supaya melaporkan kehilangan itu ke balai polis supaya mudah dikesan. Dua tiga kali kami berbalas e-mel. Tertanya-tanya juga saya, apa khabarnya M, sudahkah anaknya ditemui. Kalau ada masa hubungi saya untuk berbual.

Luahan hati Zila dan kisah sedih M boleh dijadikan iktibar oleh para ibu bapa dalam mengawasi anak-anak remaja.

Ibarat pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat. Sediakan payung sebelum hujan, jangan apabila sudah terhantuk baru tengadah. Kala itu, mungkin semuanya sudah sudah terlambat!

Salam

- NORMALA HAMZAH (kaknor@utusan.com.my)

This entry was posted on Saturday, March 3rd, 2007 at 3:07 pm

ini hanyalah peringatan kepada AKU sendiri mengenangkan 3 dara pingitan yang aku miliki...

No comments: