Tuesday, September 4, 2007

permudahkan hidup kita

Jika kita tidak suka dengan apa yang kita dapat, ubahlah apa yang kita buat. Terserahlah kepada kita untuk mengajar orang lain bagaimana kita mahu dilayan. Terlalu kerap kita menyalahkan orang lain.

Di celah kehidupan kita, terselit kisah Timah yang selalu dipelekehkan oleh Kamal, suaminya. Dia memendam rasa dan suka merungut,

“Aku ni dah jadi macam orang gaji. Aku terpaksa menurut perintah. Dia tidak pernah menolong apa-apa kerja di rumah,kami hanya pergi ke mana dia nak pergi. Kamal tidak pernah menghulurkan duit belanja untuk aku. Malah dia layan aku macam sampah, jauh sekali nak menghargai apa yang aku buat.”

Kata-kata keramat Timah hanyalah,
“Apa salah dan dosaku sehingga dilayan begini? Hidupku hanyalah berendam airmata?”

Persoalannya kenapa Timah tidak mahu bangun dan mempersoalkan sikap Kamal.
Timah mungkin tidak sedar, atau tidak mahu mengaku bahawa dia sebenarnya melatih Kamal bersikap begitu. Setakat ini, Timah hanya mengambil jalan mudah – tidak mahu bertanggungjawab, menjadi lemah, mencipta cerita sedih kepada ahli keluarga , kenalan dan jiran tentangga sambil menyalahkan semua ke atas Kamal.

Apa yang harus Timah lakukan?

Pertama sekali dia mesti menghormati dirinya sendiri dan bertekad mencari kebahagiaan hidup.

ORANG LAIN MENGHORMATI KITA MENGIKUT TAHAP MANA KITA MENGHORMATI DIRI SENDIRI.

Pasti sekali jika Kamal perasan yang Timah mengharapkan dirinya dilayan dengan baik, dia mula berubah rentak.

Dalam setiap perhubungan, ia memerlukan dua pihak untuk menari. Kedua-dua pihak bertanggungjawab dan kedua-dua pihak mendapat balasan dari peranan yang mereka mainkan. Apabila Timah mengelak untuk bertanggungjawab,tidak tegas dan meletakkan segala kesalahan kepada Kamal, balasanny ialah Kamal mempunyai hamba sahaya, dapat apa yang dikehendaki dan dapat menyalahkan apa-apa sahaja kepada isterinya.

Kita memerlukan dua pihak untuk menjayakan perhubungan dan kita juga memerlukan dua pihak untuk meruntuhkan silatulrahim.

Walau bagaimanapun amat mudah untuk menilai dan memperkatakan tentang masalah pasangan lain.

Masalah kita sendiri…sukar dileraikan!!!

No comments: