apa rasanya bila bercinta?...
Teringat aku pada tajuk penulisan yang diberikan kepada pelajar pada hari Jumaat.."Love"
hanya dalam 2 perenggan. Pelbagai definisi diberikan mengikut fahaman masing-masing bersesuaian dengan umur 14 tahun.
Ini definisi aku..
Apa itu cinta?
Cinta itu adalah perasaan yang menggambarkan kebahagiaan yang lahir dari hati dan terpancar di mata. Ada macam-macam jenis cinta. Cinta pada manusia, cinta pada kebendaan dan yang paling kudus ialah cinta pada Tuhan. Bukan semua manusia berpeluang mengekalkan rasa cinta yang ada dalam hati kerana manusia selalu mencari cinta sehingga mereka terlupa pada cinta yang hakiki.
Apa rasanya bercinta?
Adek,
Cinta itu datang tanpa diundang. Nikmatilah bahagia dan ketenangan yang dirasai kerana itulah rasanya bercinta. Tidak semestinya cinta itu sesama manusia tetapi cinta itu adalah perasaan yang dikongsi dengan semua orang. Selagi kita sayang dan senang dengan siapa sahaja kita bersama maka kita sedang menikmati cinta.
Cinta selalu adalah untuk kebaikan dan bukannya untuk kesengsaraan. Jika kita selalu gundah gulana maka kita tidak menikmati cinta tetapi sedang merasa lara. Ini kerana kita terlalu menginginkan kesempurnaan dalam diri kita sehingga kita lupa bahawa tiada siapa pun yang dilahirkan sempurna. Maka tolak ketepi perasaan gundah itu tetapi fokus kepada semua kehebatan yang ada dalam diri kita supaya kita lebih menghargai diri sendiri. Maka ketika itu cinta akan datang tanpa diundang.
Cinta adalah perasaan yang kudus dan ia tidak memerlukan sebab. Perlukah sebab untuk merasa nikmat cinta? Tidak...
Tetapi perasaan itu perlu dipupuk dan dibaja kerana tatkala perasaan itu hilang kita akan mencari sebab kenapa perasaan itu tiada lagi dalam diri kita. Ketika itu kita akan mula menyalahkan orang lain sedang sepatutnya kita perlu menunding jari kepada diri kita sendiri.
Fahamilah Adek bahawa cinta itu adalah nikmat yang diberi kepada semua manusia namun kita sering lalai dalam menjaganya. Kita alpa kerana kita merasakan selagi kita menikmati rasa cinta maka ia adalah hak kita. Namun suatu hari cinta itu akan hilang, pergi kerana kita terlupa untuk membaja dan menyiramnya dengan kasih sayang dan perhargaan.
No comments:
Post a Comment