Tuesday, September 25, 2007

Rumah Yang Senget


24 Sep 07, 02:39
adek: cikgu, kenapa setiap wanita mesti berfikiran negatif tentang suami lain.Kita seolah-olah membelakangkan tuhan.Saya rasa lebih baik benarkan suami kita kahwin drpd buat maksiat.Lagipun kalau kita melarang dia kita juga yang berdosa.Oleh itu pandanglah poligami dari sudut positif.

Hi adek: Saya nak menjawab, saya bukanlah orang yang layak maka saya buat sedikit online research...Mungkin ini dapat menjawab persoalan adek...

1,001 KEMUSYKILAN

Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akademi Pengajian Islam)

Hak dan tanggungjawab isteri

SOALAN: Saya seorang isteri yang bermadu sejak 10 tahun yang lalu. Suami saya seorang pegawai di sebuah jabatan kerajaan yang beroperasi 24 jam. Giliran bermalam bersama saya selalunya berlaku pada hari suami bertugas syif malam.

Ketika giliran bersama madu saya pula dia bekerja syif siang. Batin saya sungguh menderita kerana tidak pernah bertemu suami di waktu malam. Sebagai seorang isteri yang normal dan berusia 35 tahun, saya memerlukan hak untuk bersama, tetapi suami saya buat tidak faham hasrat saya.

Soalan saya, apa hukum suami yang tidak memberi hak isteri untuk bersama. Apakah dikira adil dengan hanya memberi waktu siang sahaja untuk giliran saya, sedangkan kepada isteri keduanya diberi giliran waktu siang dan malam. - ROHAYA, Bukit Kuching.

JAWAPAN: Merujuk kemusykilan puan tentang hak mendapat layanan kebatinan di malam hari, saya ingin tegaskan, hubungan sulit yang tidak sempurna memang suatu masalah dalam rumah tangga yang perlu diselesaikan dengan baik, tetapi masalah ini adalah ekoran daripada kecintaan yang lesu dan tidak bertenaga.

Suatu hakikat yang tidak dinafikan, hubungan sulit antara suami isteri tidak pernah dipandang kecil oleh Islam, justeru itu, suami yang berbilang isteri hendaklah menentukan giliran antara isteri dengan adil. Jika gagal dibimbangi perjalanannya tempang ketika di akhirat nanti. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mempunyai berbilang isteri, dia tidak berlaku adil terhadap mereka, akan dibangkit pada hari akhirat dalam keadaan senget.

Al-Quran menyentuh kerukunan hidup berpasangan adalah suatu nikmat anugerah Allah yang sangat dihargai, iaitu dalam ayat 21 surah al-Rum yang membawa terjemahan: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatnya bahawa Ia menciptakan untuk kamu pasang-pasangan hidup dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya.

Ayat ini menjelaskan, ketenangan hati dan kemesraan hidup dengan pasangan, merupakan nikmat yang sangat besar dan tujuan utama perkahwinan didirikan, kerana apalah ertinya bersuami atau beristeri jika hidup sentiasa keruh, kehendak batin tidak terlayan dengan sempurna.

Justeru hubungan sulit menentukan kebahagiaan suami isteri, maka Islam menjadikannya sebagai amalan yang ada pahala padanya. Dalam sebuah hadis yang panjang, diriwayat Muslim daripada Abu Zar Al-Ghifari r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Apakah kegiatan seks itu diberi pahala, sedangkan ia dilakukan semata-mata kerana nafsu? Sabda baginda lagi: Bukankah menjadi dosa jika dilakukannya pada jalan haram? Begitu juga ada pahala, kerana ia melakukannya pada jalan yang halal.

Seperti yang saya katakan, masalah puan tidak bermula di sini, tetapi berpunca daripada masalah-masalah lain yang tidak dinyatakan di sini. Oleh itu suka saya nyatakan bahawa insan dalam syariat Islam, sama ada lelaki mahupun wanita adalah makhluk yang memikul beban tugas pada masa yang sama juga mempunyai hak atas segala tanggungjawab yang disempurnakan.

Ajaran Islam berbeza dengan budaya yang diamal dalam masyarakat Barat. Mereka selalu bertanya: Apa hak yang patut saya peroleh? Sebaliknya Islam mengajar umatnya supaya bertanya: Apa kewajipan saya yang saya belum penuhi, kemudian baru beralih kepada hak yang patut saya peroleh? Memang majikan dituntut membayar upah, tetapi setelah kerja sempurna dijalankan. Sabda Nabi: Bayarlah upah kepada pekerja sebelum kering keringatnya.

Hak seseorang manusia pada hakikatnya suatu kewajipan yang ditanggung orang lain. Sebagai contoh, hak anak-anak mendapatkan kasih sayang ibu bapa, pada masa yang sama ia adalah tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anaknya. Anak-anak seolah-olah berhutang kasih sayang pada kedua-dua ibu bapanya, kerana mereka bertanggungjawab mentaati ibu bapanya, terutama setelah mereka uzur atau lanjut usia.

Hubungan antara suami isteri adalah dibuat melalui suatu kontrak yang membabitkan sama-sama mempunyai hak dan tanggungjawab secara timbal balas. Setiap tanggungjawab yang disempurnakan, sepatutnya dibayar dengan hak yang dinikmati. Dengan kata lain, suami dan isteri, masing-masing mempunyai hak mengambil dan memberi. Tiada hak yang diambil dengan percuma, tanpa tanggungjawab yang diberi.

Pada hemat saya, poligami bukan punca sebenar berlakunya salah faham antara puan dengan suami, bukan juga masalah syif malam atau siang yang tidak digilirkan dengan saksama, sehingga menjejaskan kerukunan rumah tangga dan kedamaian waktu malam yang sepi, tetapi poligami itu sendiri berpunca daripada pembinaan rumah tangga di atas tapak yang tidak sempurna, mudah runtuh atau rumah dibina tanpa mengikut pelan yang dirancang dengan teratur. Selanjutnya rumah itu didiami tanpa peraturan keselamatan yang cukup.

Walaupun puan tidak menyatakan dengan terperinci latar belakang suami dan keluarga puan, saya hampir berpendapat rumah tangga yang puan bina selama ini, tidak betul asas dan struktur pembinaannya. Puan dan suami tidak pula segera membetulkan kesilapan itu sehingga rumah menjadi condong dan hampir tumbang. Suami puan lebih suka membina rumah kedua apabila disedari rumah pertamanya hampir tumbang menimpa kepalanya sendiri.

Dalam sesetengah keadaan, pilihan seperti yang dibuat suami puan itu lebih tidak bernasib, kerana tindakan seumpama itu belum tentu menyelamatkan dirinya. Banyak kes menunjukkan rumah keduanya juga mudah runtuh dan benar-benar menimpa kepalanya, akhirnya dia terpaksa kembali ke rumah pertama dengan penuh penyesalan.

Bagaimanapun puan tidak harus menunggu keruntuhan rumah suami yang kedua ini untuk menyelamatkan rumah puan, kerana ada juga kemungkinan ia tidak runtuh, hanya senget-senget sahaja, sama juga dengan rumah puan sendiri.

Sebenarnya rumah yang dibina di atas tapak yang tidak kukuh memang tidak selesa didiami. Apa pun permasalahannya, rumah kini terbina, baik buruk pun itulah rumah puan. Puan hanya perlu menerima kenyataan yang ada, serahkan sahaja kepada takdir, bersabar dan atasi masalah dengan bijaksana, berbekalkan iman dan takwa pada Allah.

Justeru usia pun masih muda, kira-kira 35 tahun, puan masih berpeluang memperbaikinya dengan syarat struktur yang ada ditukar dengan struktur yang baru. Rundingkan masalah itu dengan suami puan secara bijaksana dan terbuka, tanpa dipengaruhi emosi. Kita ikuti apa kata Syeikh Muhammad al-Ghazali yang menulis struktur asas bagi pembinaan rumah tangga bahagia, katanya:

Sesebuah rumah hendaklah dibina di atas tiga struktur asas, iaitu: al-sakinah (ketenangan), al-mawaddah (kemesraan) dan al-tarahum (timbang rasa). Asas pertama ketenangan, ia membawa maksud hendaklah suami isteri berpuas hati dengan pasangannya, mereka seharusnya tidak berminat dengan yang lain. Puan sepatutnya tahu apa yang disukai suami puan, sediakan keperluan yang disukainya terlebih dahulu, sebelum meminta sesuatu daripadanya. Kedua, kemesraan pula membawa erti suka dan duka secara bersama. Ketiga, timbang rasa pula lebih banyak merujuk kepada akhlak yang mulia, serta tahu bersyukur atas nikmat yang diperoleh.

Sesebuah rumah yang berjaya didirikan di atas tiga struktur ini merupakan keluarga yang paling bahagia, bahkan inilah keluarga yang mampu mengatasi segala cabaran hidup dan ibu bapa yang bakal melahirkan zuriat yang sihat dan keberkatan yang berpanjangan.

Harta benda dan kemewahan hidup tidak pernah menjamin kebahagiaan yang dicari-cari, kadang-kadang hidup di sebuah rumah usang, pasangan lebih mampu mengukir senyum yang berterusan. Perhatikan sebuah hadis riwayat Sa'd ibn Abu Waqqas r.a, katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara yang membahagiakan: Isteri yang setia, kenderaan yang senang ditunggangi dan kediaman yang selesa.

Seseorang yang ada niat mendirikan rumah tangga, hendaklah berhati-hati mencari pasangan yang ada padanya ciri-ciri yang disebutkan dalam hadis di atas. Pada saya lelaki dan perempuan sama sahaja, bahkan perempuan lebih perlu berhati-hati dalam memilih bakal suaminya.

Perlu diingat, kalangan lelaki ada juga yang hanya berfikir tentang haknya, tetapi lupakan tanggungjawab. Selalunya orang ini sombong atau besar diri, tidak sudi melihat keperluan pada pihak lain. Rumah tangga Islam perlu didirikan di atas hak dan tanggungjawab bersama, mengikut kaedah yang dinyatakan dalam al-Quran, iaitu isteri-isteri mempunyai hak yang sama, seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka. Dalam pada itu orang lelaki mempunyai satu darjah kelebihan, (al-Baqarah: 228). Satu darjah kelebihan yang dimaksudkan ialah menjadi ketua keluarga, atau pengerusi dalam persyarikatan hidup.

Menjadi isteri memerlukan kelayakan yang cukup. Wanita yang berhati batu, tidak pandai memujuk suami, sering menuntut hak dan mengada-adakan masalah, tetapi gagal menunaikan tanggungjawab, tidak layak menjadi suri rumah, apalagi menjadi ibu kepada anak-anak yang bakal menyambung zuriat. Kelayakan yang serupa juga hendaklah dikatakan kepada lelaki yang berminat menjadi suami.

Suatu kisah yang cukup menarik diriwayat Abu Sa'id al-Khudri r.a katanya: Seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah kerana anak gadisnya tidak mahu berkahwin. Sabda Nabi kepada gadis itu: Patuhilah kehendak bapamu. Jawab gadis: Saya tidak akan kahwin sehingga Rasulullah menyatakan apa tanggungjawab saya sebagai isteri. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Jika suamimu berkudis, lalu engkau rawat kudisnya dengan mulutmu, maka perbuatan itu tidak wajar dianggap sebagai keterlaluan. Jawab gadis: Demi Allah, kalau begitu tugas isteri, aku tidak akan kahwin selama-lamanya. Sabda Nabi kepada bapanya: Jangan engkau paksa dia kahwin. Biarlah dia membuat keputusan sendiri - (Qadaya al-Mar'ah, halaman 128).

Sebenarnya apa yang dikatakan kepada isteri terhadap suami, itulah juga dikatakan kepada lelaki terhadap isterinya. Jika ada suami yang berasa jijik merawat kudis-kudis isterinya, atau isteri hanya di waktu sihat sahaja, maka lebih baik bagi lelaki ini berpuasa sahaja, sesuai dengan nasihat Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Sesiapa yang tidak mampu kahwin, hendaklah ia berpuasa, kerana puasa menjadi pengikat nafsunya. Wallahualam.


No comments: